Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:51pm
Pemain Negeri Sembilan, Jose Almir Barros Neto (kiri) menerima halangan dari penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Ilham Amirullah Razali pada perlawanan Liga Malaysia 2019 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

TFC tumbang di Paroi

 

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) kembali menghidupkan peluang untuk terus bersaing dalam Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-2, dalam saingan Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

NS tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama apabila sepakan deras Mohd Ferris Danial Nasir dari jarak kira-kira 25 meter pada minit kedua permainan menewaskan Wan Mohd Azraie Wan Teh.

Tiga minit kemudian, giliran penyerang import, Almir Neto menjaringkan gol kedua tuan rumah menerusi sepakan penalti selepas Mohd Aiman Khalidi dijatuhkan pertahanan lawan.

Tersentak dengan kedua-dua gol pantas itu, TFC kembali menyusun gerak dengan beberapa kali menguji pertahanan skuad Hobin Jang Hobin terutama menerusi ayam tambatan mereka, Tchetche Kipre dan Mohd Khairul Izuan Rosli.

Hasrat skuad Penyu merapatkan jurang berhasil apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-35, menerusi sepakan penalti selepas Khairul Izuan dijatuhkan pertahanan tuan rumah.


Pemain Negeri Sembilan, Shunsuke Nakatake melepasi halangan dari pemain Terengganu FC pada perlawanan Liga Malaysia 2019 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Lee Tuck yang mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah apabila bola terus menggegar jaring menewaskan Mohd Hamka Daud.

TFC dilihat terus menguasai pada sebahagian besar babak kedua permainan dengan serangan bertali arus ke kubu NS.

Bagaimanapun, menerusi serangan balas dan kesilapan Wan Azraie menangkap kemas sepakan Neto, bola muntah itu berjaya disambar Igor Luiz untuk meledak gol ketiga NS pada minit ke-65.

Angkara kelekaan pertahanan NS pada minit terakhir perlawanan digunakan Serhi Andrieiv untuk menjaringkan kedua TFC minit ke-90 dan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

2356 dibaca
Berita Harian X