Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:08am
Pemain Pahang, Dickson Nwakaeme melepasi penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim dalam perlawanan Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Tok Gajah tempah tiket suku akhir

KUANTAN: Skuad Pahang muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.  

Kemenangan kali keempat berturut-turut yang dilakar skuad kendalian Dollah Salleh itu menyaksikan Pahang mengutip 12 mata maksimum dan mengungguli saingan Kumpulan C.

Sekali pun memulakan perlawanan dengan persembahan meyakinkan dengan deretan serangan ke atas kubu Sabah, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk membolosi gawang lawan.


Penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim mengeluarkan bola ketika diasak pemain Pahang dalam perlawanan Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Peluang terbaik tuan rumah pada separuh masa pertama hadir menerusi cubaan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria tetapi rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang pelawat untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan menuju rehat.  

Sebaik bersambung babak kedua, gol yang dicari-cari Tok Gajah akhirnya menjelma juga hasil sentuhan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme pada minit ke-57.  

Biarpun Sabah berusaha untuk mencari gol penyamaan, pertahanan kental Pahang memastikan pasukan itu mencatat kemenangan keempat berturut-turut dan mengesahkan tempat ke suku akhir.

Berita Harian X