Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:43am
Pemain Manchester United, Aaron Wan-Bissaka (kiri) bersaing dengan pemain Crystal Palace, Patrick van Aanholt pada perlawanan Liga Perdana, sebentar tadi. - Foto Reuters

Palace aibkan Man United

MANCHESTER: Jaringan pada masa kecederaan daripada pertahanan Patrick van Aanholt menghadiahkan Crystal Palace kemenangan 2-1 terhadap Manchester United yang beraksi longlai di gelanggang sendiri pada aksi Liga Perdana, sebentar tadi.

Berpunca daripada kelekaan Paul Pogba, Van Aanholt kemudian bertindak bijak menewaskan pertahanan United sebelum melepaskan rembatan yang mengatasi penjaga gol David De Gea.

Beraksi di Old Trafford, Palace terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi Jordan Ayew dengan tuan rumah mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas Marcus Rashford gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-70.


Pemain Manchester United, Pau Pogba (kanan) dihalang pemain Crystal Palace, James McArthur (kiri) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto EPA

Gol penyamaan yang dicari-cari United hadir pada minit ke-89 menerusi Daniel James menerusi rembatan lencong menarik ke tepi gawang Palace tetapi keraian tuan rumah itu tidak lama.

Tujuh minit kemudian, Palace meledak gol kemenangan menerusi Van Aanholt dengan Pogba, yang gagal menyempurnakan penalti ketika United seri 1-1 menentang Wolverhampton Wanderers dilihat menjadi punca kepada jaringan berkenaan. 

Sementara itu, Brighton & Hove Albion tewas 0-2 kepada Southampton manakala Leicester City menewaskan Sheffield United 2-1 dan West Ham terus menambah derita Watford dengan kemenangan 3-1. - Reuters

3371 dibaca
Berita Harian X