Jumaat, 30 Ogos 2019 | 8:52pm
PEMAIN Jordan, Said Morjan ketika berjaya menjaringkan gol pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil- Foto BERNAMA

Pengajaran buat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Kekalahan 0-1 kepada Jordan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi seharusnya menjadi pengajaran berguna buat Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia, 5 September ini.

Masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki skuad kendalian Tan Cheng Hoe terutama dalam memantapkan lagi bahagian pertahanan untuk menentang skuad Garuda.


PENYERANG Harimau Malaya, Muhamad Safawi Rasid (tengah) dihalang oleh tiga pemain Jordan pada separuh masa pertama aksi persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA


ULTRAS Malaya mengeluarkan tifo Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada aksi persahabatan di antara Malaysia dan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA


PENYOKONG Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Namun, berdasarkan persembahan itu, ada juga perkembangan positif dipamerkan barisan pemain Harimau Malaya termasuk beraksi dengan agresif walaupun berdepan lawan memiliki fizikal lebih besar.

Malah, memang itu diharapkan Cheng Hoe bagi aksi berdepan Jordan untuk melihat di mana kelemahan perlu diperbaiki yang mungkin juga boleh dijadikan persediaan awal untuk berdepan pasukan dari Timur Tengah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan kedua, 10 September ini.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan ketua pasukan Jordan, Said Morjan seawal minit ketujuh selepas rembatannya di dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Farizal Marlias.

Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47, namun rembatan jarak jauh Norshahrul Idlan Talaha sedikit melepasi palang gol Jordan.

Pemain gantian, Ahmad Hazwan Bakri juga mendapat peluang terbaik untuk meledak gol, namun percubaannya pada minit ke-64 diselamatkan penjaga gol, Yazeed Abulaila.

Kegagalan jentera serangan Harimau Malaya menyudahkan beberapa peluang menyaksikan kedudukan 1-0 memihak Jordan kekal hingga wisel penamat.

Selain Indonesia dan UAE, Harimau Malaya juga akan menentang Vietnam pada 10 Oktober dan Thailand (14 November) selepas dua jaguh Asia Tenggara itu turut diundi dalam Kumpulan G.

6232 dibaca
Berita Harian X