Ahad, 1 September 2019 | 12:21am
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Penyudah Man United tumpul - Solskjaer

SOUTHAMPTON: Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui skuad kendaliannya ‘tumpul’ di depan gawang selepas terikat 1-1 dengan Southampton di Stadium St. Mary, malam tadi.

Ini kali ketiga United tidak mengutip mata penuh selepas mengharungi empat perlawanan Liga Perdana dengan hanya satu kemenangan diraih pada aksi pembukaan ketika menewaskan Chelsea.

United memperoleh permulaan yang diharapkan apabila Daniel James menyumbat gol ketiganya musim ini tetapi disebalik berbelanja besar £130 juta (RM664.70 juta) bagi meningkatkan kualiti pertahanan dengan membeli Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, gawang mereka bocor apabila Jannik Vestergaard menyamakan kedudukan pada babak kedua.

Tuan rumah turut terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Kevin Danso dilayangkan kad kuning kedua tetapi kelebihan itu gagal dimanfaatkan United untuk sekadar mengutip satu mata.

“Kami bermula dengan baik, memulakan permainan dengan cara yang kami mahukan dan kemudian kamu perlu menamatkan perlawanan dan menjaringkan gol kedua dan ketiga,” kata Solskjaer.

“Ada begitu banyak ruang di atas padang kerana mereka perlu memberi tekanan dan kami tidak cukup klinikal, kamu mencipta banyak peluang tetapi tiada penyudah.”

Solskjaer sebelum perlawanan mengakui gembira untuk meletakkan harapan kepada Marcus Rashford dan Anthony Martial bagi menjana serangan pasukan sekali pun tiada pengganti selepas perpindahan Romelu Lukaku serta Alexis Sanchez, yang kedua-duanya menyertai Inter Milan.

Selepas Martial terpaksa diketepikan susulan kecederaan paha, bebanan di bahu Rashford kian meningkat.

“Perkara yang aneh adalah dalam tiga perlawanan terakhir, kami bermain dengan lebih baik berbanding ketika melawan Chelsea,” kata Solskjaer. “Perlawanan dengan Chelsea, mereka sentiasa menekan kami dan kami melakukan serangan balas.

“Dalam tiga perlawanan ini, kami mendominasi, mencipta peluang tetapi kami tidak tajam di depan gawang untuk memenangi perlawanan. Kami gagal menyempurnakan penalti, terlepas peluang terbaik dan sepatutnya menang seperti hari ini. Ia bukan penurunan prestasi.” - AFP

Berita Harian X