Isnin, 2 September 2019 | 8:49am
Romelu Lukaku. - Foto EPA
Romelu Lukaku. - Foto EPA

Lukaku meledak lagi di Cagliari

MILAN: Bola sepak Itali sekali lagi terbabit dalam perkauman awal pagi tadi ketika Romelu Lukaku menjadi sasaran penghinaan sebelum meletakkan Inter Milan di persada Serie A dengan penalti kemenangan 2-1 mengatasi Cagliari.

Lukaku – pemain ditandatangani dengan harga 65 juta euro (RM300 juta) dari Manchester United – bersedia untuk mengambil penalti pada minit ke-71 di Sardinia apabila ejekan berbaur perkauman kedengaran beberapa saat daripada penonton.

Pemain antarabangsa Belgium berusia 26 tahun itu melihat tempat duduk penonton dengan marah sebelum tenang menyempurnakan gol keduanya, yang hadir selepas Lautaro Martinez membuka jaringan pada minit ke-28 buat skuad Antonio Conte dan gol penyamaan Joao Pedro untuk tuan rumah empat minit sebelum rehat.

Lukaku pantas dikerumuni rakan sepasukan ketika Inter menang perlawanan kedua daripada dua saingan liga dan berada di depan juara bertahan, Juventus, yang juga dengan mata maksimum selepas menang 4-3 mengatasi Napoli Sabtu lalu.

Ejekan perkauman mencemarkan Itali sejak kebelakangan ini dengan penyerang Itali, Moise Kean juga menjadi mangsa – bersama rakan sepasukan Blaise Matuidi – di Cagliari selepas menjaringkan gol di sana berdepan bekas pasukannya Juventus April lalu.

“Saya tidak dengar (ejekan itu),” kata Conte.

“Saya boleh bercakap secara umum: Saya rasa kita perlu memperbaikinya di Itali, hormat sesiap saja.

“Ketika saya bekerja di luar, penyokong akan bersorak kepada pasukan mereka, bukan menghabiskan keseluruhan masa mengejek lawan. Saya OK di sini, tiada siapa mengejek saya.” - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X