Rabu, 4 September 2019 | 2:11pm
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe (tiga dari kanan) memerhati anak-anak buahnya menjalani sesi latihan sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. - Foto BERNAMA

'Tangisan 100,000 penyokong Indonesia jadi azimat'

KUALA LUMPUR: Perjuangan skuad Tan Cheng Hoe dalam merebut satu slot ke kejohanan lebih besar selepas Piala Suzuki AFF bakal bermula apabila secara rasmi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 membuka tirainya dengan menentang skuad Indonesia, malam esok.

Selepas melepasi pusingan pertama aksi kelayakan bertemu Timor-Leste pada Aidilfitri lalu, kini laluan menuju ke Piala Dunia dan Piala Asia seakan memihak kepada Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan G bersama 3 lagi wakil Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Kita sudah kerap kali beradu kekuatan dengan tiga pasukan ini. Melengkapkan kumpulan ini adalah gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Secara realistiknya, peluang kali ini lebih baik buat skuad Harimau Malaya untuk mara ke China pada 2023 berbanding Qatar pada 2022.

Dengan perubahan konsep kelayakan yang lebih terbuka berbanding edisi terdahulu dan lawan bakal dihadapi, barisan yang dipilih Tan Cheng Hoe seharusnya mengambil kesempatan terhidang.

Baik barisan kejurulatihan mahupun pemain tidak boleh mengulangi lagi kesilapan terdahulu apabila gagal menyambar peluang terhidang. Ini kerana konsep kelayakan kali ini lebih besar peluangnya sejak edisi Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Penganjur menawarkan lebih banyak perlawanan dalam kumpulan berbanding edisi 2014 dan sebelumnya yang kelihatannya lebih ‘kejam’ apabila menggunakan konsep kalah mati. Di atas kertas, sudah pasti UAE yang berada di kedudukan ke-77 ranking dunia menjadi pilihan utama untuk mara bagi Kumpulan G.

Selebihnya berkisar kepada satu lagi slot di kalangan negara Asia Tenggara untuk merebut kuota ke pusingan seterusnya. Jika diambil kira kedudukan dunia baki empat negara ini, tentunya Vietnam mempunyai kelebihan dengan berada di kedudukan ke-97 dunia ketika ini.

Tetapi itu semua sekadar cakap-cakap kosong sebelum sepak mula. Malaysia tidak boleh terlalu memikirkan semua ini dan perlu fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Peluang seimbang jika diambil kira prestasi empat negara ini ketika Piala Suzuki AFF akhir tahun lalu biarpun Malaysia terpaksa akur kepada Vietnam di perlawanan akhir.

Prestasi skuad Harimau Malaya yang dilihat lebih positif persembahannya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe yang lebih berkeyakinan dan berani untuk mengawal permainan dengan corak hantaran pendek perlu diterjemahkan dengan keputusan positif.

Dalam erti kata yang lain, perlu menang untuk mengesahkan persembahan terpuji itu. Melihat kepada peluang Malaysia menjelang perlawanan pertama bertemu Indonesia yang menjadi seteru utama sejak merdeka - jika diimbas rekod kedua-dua pasukan pada tahun ini di pentas antarabangsa, Malaysia lebih kerap bermain dan mencatatkan kemenangan.

Walaupun bakal beraksi di gelanggang keramat, Stadium Gelora Bung Karno, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana sejarah pernah menyaksikan kira-kira 100,000 penyokong setia Sang Garuda menangis taktala Malaysia menjulang Piala AFF dan emas Sukan SEA di situ.

Di kala benteng akhir dikemudi ketua pasukan, Farizal Marlias ampuh menahan asakan, gandingan Brendan Gan dan Azam Azih di bahagian tengah perlu bekerja lebih keras dalam mencipta peluang menjaringkan gol.

Sementara peluang yang dimiliki perlu disudahkan dengan gol oleh rangkaian serangan yang berteraskan Safawi Rasid serta Norshahrul Idlan Talaha jika mahu merealiasikan impian bermain di pentas lebih tertinggi di masa mendatang.

Buat pemain ke-12 pula, diharapkan sokongan padu dan positif terus diberikan buat skuad negara baik di stadium sebenar mahupun di stadium maya seperti Facebook dan Instagram. Selamat maju jaya Harimau Malaya! - Mohamad Asyraaf (Penyokong Harimau Malaya)

4112 dibaca
Berita Harian X