Sabtu, 7 September 2019 | 10:57am
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

Perlu lebih sedia, fokus: Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan kejayaan Harimau Malaya bermula langkah kanan dalam kempen Kelayakan Pusingan 2 Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 adalah hasil daripada kerjasama yang diberikan semua ahli gabungan.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe meraih kejayaan manis pada aksi pembukaan Kumpulan G selepas menundukkan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin.

"Terima kasih kepada semua ahli gabungan FAM dan kelab kerana memberi kerjasama dalam membantu Cheng Hoe membentuk pasukan yang mantap dan terbaik bagi menghadapi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023,” kata Hamidin.

"Ahli gabungan FAM serta pasukan kelab diharap dapat terus memberikan kerjasama dan sokongan setiap kali khidmat pemain mereka ini diperlukan oleh pasukan kebangsaan, Harimau Malaya."

Malaysia kini mengungguli Kumpulan G selepas Thailand dan Vietnam terikat tanpa jaringan, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih belum beraksi.

Harimau Malaya bakal berdepan lawan lebih sukar, UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi aksi kedua kumpulan, Selasa ini.

Selain itu Hamidin turut berterima kasih kepada bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menganggap kejayaan yang dikecapi Harimau Malaya ketika ini adalah datang daripada usaha baginda ketika menerajui badan induk itu sebelum ini.

"Kehadiran pemain naturalisasi dan berdarah campuran turut menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menerusi gandingan yang cukup baik di antara mereka dan barisan pemain tempatan.

"Usaha memperkasakannya akan saya teruskan demi meningkatkan lagi kedudukan bola sepak negara kita. Apa pun, semua ini masih terlalu awal.

"Kita perlu bersedia dan lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi perlawanan akan datang. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan secara bersama oleh semua pihak dan usaha ini tidak boleh berhenti jika kita mahu melihat bola sepak Malaysia terus maju dan meningkat," katanya.

498 dibaca
Berita Harian X