Ahad, 8 September 2019 | 12:15pm
Pemain skuad bola sepak Malaysia, Matthew Davies mengadakan sidang media ketika menjalani sesi latihan sebelum Malaysia akan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Misi tebus aib di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan perlu mengelak daripada sekali lagi diaibkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang aksi kedua Kumpulan G kempen Kelayakan Pusingan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Harimau Malaya pernah berdepan detik hitam selepas dibelasah 10-0 oleh UAE pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, empat tahun lalu.

Pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies mengakui peristiwa yang berlaku di Stadium Mohammed Bin Zayed itu masih berada dalam ingatannya.

Namun, Davies menjelaskan Harimau Malaya tidak perlu untuk memikirkan mengenai sejarah hitam itu, sebaliknya memberi fokus untuk mencipta sejarah baharu.

"Saya masih ingat (tewas 10-0 kepada UAE) walaupun saya berada di bangku simpanan. Tapi kali ini kami tampil dengan skuad yang berbeza dan dengan semangat baharu,” kata Davies.

"Kami mahukan keputusan positif berdepan UAE, menang atau seri ia akan menjadi keputusan yang baik bagi kami.

"Kami juga tidak hanya mahu mengharungi perlawanan ini untuk mengurangkan jaringan daripada dibolosi, tapi kamu mahukan kemenangan atau mendapatkan mata."

Malaysia kini mengungguli Kumpulan G selepas mengumpul tiga mata susulan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis lalu.

Berdasarkan sejarah rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kali terakhir Malaysia mencipta kemenangan ke atas UAE ketika Pesta Bola Merdeka 1982 dengan keputusan 1-0.

Bagi Davies, dia enggan melihat sejarah itu sebagai halangan untuk Harimau Malaya mencipta kejutan di hadapan ribuan penyokong sendiri.

"Saya fikir perlawanan dengan UAE seakan sama dengan aksi Indonesia sebelum ini sudah lama kita tidak menang di Indonesia. Jadi, kami perlu kekal psoitif dan tidak terlalu memikirkan mengenai sejarah lalu, sebaliknya lebih fokus mencipta sejarah baharu," katanya.

2394 dibaca
Berita Harian X