Rabu, 11 September 2019 | 7:12am
CRISTIANO Ronaldo

Ronaldo ledak 4 gol atasi Lithuania

VILNIUS: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo kini mengumpul 93 gol antarabangsa apabila meledak empat kali ketika memberikan juara Eropah itu kemenangan 5-1 di tempat lawan mengatasi Lithuania pada kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

Bermain pada penampilan antarabangsa ke-161, pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan hatrik kelapannya buat pasukan kebangsaan dan ke-54 sepanjang kariernya untuk membantu kemenangan Portugal.

Pemain tengah, William Carvalho melengkapkan kemenangan pada penamat saingan ketika Portugal kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan lapan mata, lima di belakang pendahulu Ukraine bersama satu perlawanan dalam tangan.

Serbia satu mata di belakang selepas menang 3-1 di Luxemburg.


AKSI Cristiano Ronaldo pada kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

“Saya menjaringkan satu gol berdepan Serbia dan empat hari ini dan apa yang paling saya mahukan ialah terus melakukan seperti ini,” kata Ronaldo yang menyempurnakan penalti awal dan menambah tiga gol pada babak kedua.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos berkata: “Ronaldo ialah pemain terbaik dunia, dan ia jelas serta bukti yang kukuh.”

Lithuania, pasukan terbawah dengan satu mata, terlepas penalti awal apabila Vykintas Slivka menyepak melepasi palang dan mereka terpaksa membayar harga yang mahal apabila Markus Palionis memegang bola selepas hantaran Joao Felix dan Ronaldo menyempurnakan penalti pada minit kelima. - Reuters

1664 dibaca
Berita Harian X