Rabu, 11 September 2019 | 7:41am

Iran atasi Hong Kong, China belasah Maldives 

HONG KONG: Iran memulakan langkah kemenangan apabila mengatasi Hong Kong 2-0 dalam aksi kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 manakala penyerang naturalisasi China kelahiran Brazil, Elkeson menyumbat dua gol ketika membantu China berpesta gol membelasah Maldives 5-0, di Male malam tadi.

Iran yang memburu penampilan keenam di Piala Dunia mengutip mata maksimum Kumpulan C hasil membenam Hong Kong yang lebih banyak bertahan ketika aksi itu dicemari dengan gelagat penyokong tuan rumah yang mengejek lagu kebangsaan China.

Iran bagaimanapun ketinggalan satu mata di belakang Bahrain yang mengatasi Kemboja 1-0 di tempat lawan. Bahrain bermain lebih satu perlawanan berbanding Iran.

Sardar Azmoun meletakkan Iran di depan menerusi rembatan kencang ke bucu gawang lawan pada babak pertama sebelum Karim Ansarifard memastikan kemenangan sembilan minit  babak kedua bersambung.

"Kami meraih tiga mata daripada perlawanan ini, saya rasa ia adalah keputusan positif,” kata jurulatih Iran, Marc Wilmots, yang melaksanakan tugas pertama skuad Iran.

"Kami berdepan tembok pertahanan Hong Kong tapi kami berjaya menyumbat dua gol dan mencipta banyak peluang jaringan lain.

"Ini hanya permulaan persiapan dan skuad kami akan bertambah bagus selepas ini.”

Dalam pada itu, Elkeson yang tampil buat kali pertama bersama skuad China selepas diberikan kerakyatan ketika mewakili kelab Guangzhou Evergrande meledak dua kali dari luar petak penalti yang menyaksikan skuad bimbingan Marcello Lippi itu mudah meratah Maldives 5-0 dalam aksi Kumpulan A di Male. 

China kini berkongsi tiga mata bersama Filipina yang mengatasi Guam 4-1 untuk memadam kekecewaan tewas di tangan Syria dalam perlawanan pertama kumpulan.

Sementara itu, Jepun turut merakam kemenangan 2-0 ke atas Myanmar hasil jaringan Shoya Nakajima dan Takumi Minamino ketika kunjungan ke Yangon bagi aksi Kumpulan F.

Tajikistan mendahului Kumpulan F selepas merakam kemenangan kedua hasil mengatasi Mongolia 1-0.

Yemen pula berjaya mengikat Arab Saudi 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan D yang menyaksikan Yemen dua kali mendahului lawan sebelum Salem Al Dawsari menyamakan kedudukan.

Dalam satu lagi perlawanan, Singapura berjaya menundukkan Palestin 2-1.

Dalam pada itu, Australia menang selesa 3-0 ke atas Kuwait dalam aksi pertama Kumpulan B tatkala Anjan Bista menyumbat dua gol ketika membantu Nepal menewaskan Taiwan 2-0.

Dalam saingan Kumpulan E, India memaksa juara Piala Asia, Qatar seri tanpa jaringan ketika bertembung di Doha manakala Afghanistan menang tipis 1-0 ke atas Bangladesh.

Gol tunggal Jang Kuk Chol memadai buat Korea Utara merakam kemenangan ke atas Sri Lanka dalam saingan Kumpulan H sekali gus mendahului dengan enam mata, mengatasi Korea Selatan di tangga kedua yang menang 2-0 ke atas Turkmenistan.

Lapan pemenang kumpulan dan empat naib juara kumpulan akan mara ke pusingan ketiga pusingan kelayakan itu. – Reuters

1655 dibaca
Berita Harian X