Rabu, 11 September 2019 | 8:31am
AKSI Kingsley Coman ketika menjaringkan gol dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Stade de France. - Foto AFP

Malang Andorra berterusan

PARIS: Kingsley Coman memastikan Perancis menang 3-0 ke atas Andorra dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Stade de France tatkala Antoine Griezmann terlepas penalti kali kedua, pagi tadi.

Sabtu lalu, Coman menyumbat dua gol ketika membantu Perancis menang 4-1 ke atas Albania di gelanggang sama dan kali ini dia membuka jaringan pada minit ke-18 ke atas pasukan di ranking ke-136 itu.

"Ini minggu yang bagus buat kami baik untuk individu mahupun pasukan,” kata Coman kepada stesen televisyen TF1.

Griezmann pula sekali lagi hampa apabila penaltinya diselamatkan namun tandukan Clement Lenglet memastikan Perancis mendahlui 2-0 di babak kedua menerusi gol pertama antarabangsanya.

Wissam Ben Yedder menambah keceriaan skuad bimbingan Didier Deschamps itu yang meraikan aksi kali ke-100 di Stade de France yang juga stadium keramat yang menyaksikan Perancis muncul Piala Dunia 1998.


ANTOINE Griezmann

Perancis mampu menyumbat lebih banyak gol namun pertahanan Andorra hebat bertahan. Pasukan pelawat itu pulang hampa tanpa sebarang mata selepas mengharungi enam aksi kelayakan.

Les Bleus kini menduduki tangga teratas Kumpulan H selepas enam aksi dengan berkongsi 15 mata dengan Turki dan tiga mata di depan Iceland. Hanya dua pemenang setiap kumpulan akan mara ke pusingan akhir Euro 2020 yang mempertemukan 24 negara.

"Kami bekerjasama untuk mendapatkan enam mata pada September dan kami pastikan usaha itu berhasil,” kata Deschamps.

Dalam pada itu, Turki, yang menewaskan Perancis Jun lalu merakam kemenangan 4-0 di Moldova pagi tadi sebelum berkunjung sekali lagi ke Paris bulan depan.

Harapan Iceland untuk melayakkan diri berdepan halangan apabila tewas 2-4 di Albania dan pertembungan menentang Perancis di Reykjavik pada 11 Oktober kini jadi penentu kemaraan mereka.

Perancis tidak begitu bimbang kunjungan ke Reykjavik itu nanti kerana Kylian Mbappe, Paul Pogba dan N'Golo Kante dijangka dapat dturunkan semula.

"Kita berdepan dua lawan sukar dalam perlawanan bulan depan. Enam mata di sini sangat bagus, tetapi dua lagi aksi selepas ini juga amat penting,” kata Deschamps.

Dalam saingan pagi tadi, Perancis hanya menyenaraikan empat pemain yang menjuarai Piala Dunia ketika mengatasi Croatia di final tahun lalu. –  AFP

553 dibaca
Berita Harian X