Khamis, 12 September 2019 | 11:06am
DANIEL James

Daniel James sandaran baru United 

LONDON: Rekod perpindahan pemain Manchester United sejak beberapa musim kebelakangan ini tidak menampakkan kejayaan apabila kelibat pemain bergaji mahal seperti Henrikh Mkhitaryan, Alexis Sanchez, Memphis Depay dan Fred gagal menyinar di Old Trafford.

Sebaliknya, bekas pemain sayap Swansea City, Daniel James yang dibeli dengan harga 15 juta pound (RM77 juta) membuatkan United seolah-olah memenangi jakpot dengan pembelian itu apabila pemain muda itu lebih menyinar sehingga dia pantas dibandingkan dengan kehebatan bekas bintang Wales, Ryan Giggs.

United akan melayan kunjungan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu ini dengan misi kemenangan selepas hanya meraih satu kemenangan daripada empat aksi pertama musim ini.

Ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool, penyokong United sudah pasti mengharapkan James dapat mengubah nasib United menerusi kepantasan dan kelicikannya menjaringkan gol.

Sejak berpindah dari Swansea, James sudah menjaringkan tiga gol dalam liga termasuk satu ketika kali pertama diturunkan menewaskan Chelsea 4-0.

Dia juga menjaringkan gol menarik ketika tewas 1-2 kepada Crystal Palace dan ketika seri 1-1 dengan Southampton.

James sekali lagi menemui sasaran ketika Wales menentang Belarus dalam aksi persahabatan antarabangsa yang menyaksikan Giggs, pengurus pasukan kebangsaan negaranya memuji kemampuan pemain berusia 21 tahun itu yang dianggap salah seorang pemain terbaik ditandangani pada jendela perpindahan.

"Dia salah seorang daripadanya, anda tahu apa akan dilakukannya tetapi anda tak dapat menahannya,” kata Giggs.

"Seperti pemain muda yang lain, mereka perlu perbaiki situasi bola mati tetapi dia berjaya melakukannya.”

James boleh menjadi pemain kedua United menjaringkan gol dalam tiga aksi pertama di Old Trafford selepas pengurus sekarang, Ole Gunnar Solskjaer melakukannya pada 1996.

Leicester pula memulakan kempen musim baharu dengan cemerlang apabila menduduki tangga ketiga hasil dua kemenangan dan dua seri dibantu prestasi Jamie Vardy yang kembali digeruni pertahanan lawan. – Reuters

1337 dibaca
Berita Harian X