Khamis, 12 September 2019 | 2:15pm
PEMAIN Terengganu FC, Kipre Tchetche. NSTP/Effendy Rashid.

Tchetche sedia amuk Kedah 

KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche tekad 'mengganas’ apabila skuadnya berdepan Kedah dalam saingan peringkat Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Bagi memastikan impian itu tercapai, pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia selepas melalui rehat yang cukup untuk mematahkan sayap skuad Helang Merah buat kali kedua dalam saingan berkenaan.

Bekas pemain kelab Al-Suwaiq Liga Oman itu juga tanpa berselindung menyatakan skuadnya mempunyai peluang lebih baik mencatat kemenangan dan seterusnya melangkah lebih awal ke suku akhir.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Tchetche mencuri tumpuan apabila meledak dua gol untuk menundukkan skuad Helang Merah itu 2-0 biarpun beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua selepas penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali diperintah keluar padang kerana menerima kad merah.

“Saya sudah melalui tempoh rehat yang mencukupi, begitu juga rakan sepasukan, oleh itu kami dapat membuat persediaan yang terbaik sebelum berdepan Kedah di tempat sendiri.

“Berdasarkan peluang, kami mempunyai kelebihan menang berbanding lawan kerana bermain sebagai tuan rumah, kami tahu apa yang perlu dilakukan dalam misi melangkah lebih awal ke suku akhir.

“Namun saya nasihatkan diri dan rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin dan selesa beraksi di tempat sendiri, sebaliknya bermain seperti biasa mengikut strategi yang diatur jurulatih bagi mengelak kekalahan,” kata Tchetche.

Tchetche yang kini mendahului senarai penjaring Piala Malaysia bersama penyerang Johor Darul Tazim (JDT), Diogo Luis Santo dengan lima gol bersedia mengulangi pencapaian itu dengan mencetak sembilan gol sekali gus muncul penjaring terbanyak.

“Saya sedia mengulangi pencapaian itu, begitu juga dua jaringan di Alor Setar, saya harap dapat membantu pasukan mencatat kemenangan di depan peminat setia TFC,” katanya.

Tchetche turut meledak dua gol ketika pasukannya menumpaskan FELDA United 2-1 dalam aksi persahabatan minggu lalu.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu memimpin kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata, diikuti Kedah dengan tujuh mata, PKNS empat mata dan Negeri Sembilan tercorot dengan tiga mata.

Berita Harian X