Sabtu, 14 September 2019 | 9:04am
Pemain Amiens, Christophe Jallet (kiri) cuba menghalang pemain Olympique Lyonnais, Martin Terrier pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Lyon terlepas ketuai carta Ligue 1

PARIS: Lyon mensia-siakan peluang untuk menghuni tangga teratas Ligue 1 Perancis apabila terikat 2-2 berdepan Amiens, awal pagi tadi.

Keputusan menyaksikan skuad kendalian Sylvinho itu yang dianggap pencabar kepada penyandang juara, Paris Saint-Germain (PSG) musim ini itu hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan terakhir dan kini ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Ligue 1 itu selepas lima aksi.

Beraksi di gelanggang lawan, gawang Lyon terlebih dulu bocor seawal minit ketujuh menerusi gol Christophe Jallet sebelum dua jaringan Moussa Dembele meletakkan mereka di depan pada babak pertama.

Tetapi jaringan pada masa kecederaan oleh Mathieu Bodmer menyebabkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata sebelum Lyon dijadual bertemu PSG kendalian Thomas Tuchel, minggu depan.

“Apabila kamu tidak bermain untuk 90 minit, kamu perlu membayar padahnya,” kata Sylvinho dengan skuad kendaliannya akan menanti kunjungan Zenit Saint Petersburg dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Dalam perlawanan lebih awal, pemain muda Nigeria, Victor Osimhen meledak gol kelimanya di Ligue 1 ketika Lille meraih kemenangan 2-1 ke atas Angers.

Osimhen, 20, meledak gol pembukaan enam minit sebelum babak pertama berakhir dan kini menghuni carta teratas penjaring terbanyak Ligue 1 bersama Dembele.

Rembatan padu Luiz Araujo menggandakan kelebihan naib juara Ligue 1 musim lalu itu pada minit ke-53 sebelum Angers meledak gol sagu hati menerusi penyerang, Stephane Bahoken susulan kesilapan penjaga gol, Ludovic Butelle pada minit ke-87.

Lille selepas ini dijadual berkunjung ke Ajax bagi aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

“Jika kami bermain dengan cara yang sama ketika kami mendahului 2-0 semasa menentang Ajax, kami akan kalah,” kata jurulatih Lille, Christophe Galtier.

“Tidak (tumpuan ke Amsterdam). Kini, ya... ia memerlukan keinginan yang kuat, tekad yang tinggi untuk melakukannya kerana ia pasti sesuatu yang amat sukar.” - AFP

 

 

Berita Harian X