Isnin, 16 September 2019 | 11:31pm
David de Gea menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United. - Foto AFP

De Gea tandatangan kontrak baharu

LONDON: David de Gea menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi berkenaan masa depan penjaga gol Sepanyol itu.

De Gea, 28, yang sebelum ini dikaitkan dengan kepulangan ke Sepanyol untuk menyertai Real Madrid, melanjutkan kontrak selama empat tahun bersama kelab Inggeris itu.

“David de Gea sudah menandatangani kontrak baharu dengan Manchester United, akan bersama kelab ini sekurang-kurangnya sehingga Jun 2023,” kata United di laman rasmi kelab itu. “Terdapat pilihan untuk melanjutkan setahun lagi.”

De Gea menyertai United dari Atletico Madrid pada tahun 2011 dan membuat 367 penampilan bersama kelab itu.

“Ia satu penghormatan dapat bersama kelab hebat ini sejak lapan tahun lalu dan peluang untuk meneruskan karier di Manchester United adalah satu penghargaan,” kata De Gea.

“Sejak tiba di sini, saya tidak terfikir akan bermain lebih 350 perlawanan untuk kelab ini. Kini masa depan saya sudah jelas, apa yang saya mahu ialah membantu pasukan ini mencapai apa yang kami percaya kami boleh dan memenangi semula trofi-trofi bersama.”

 

De Gea sudah memenangi Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa sejak tiba di Old Trafford.

Pengendali United Ole Gunnar Solskjaer berkata dia gembira dengan keputusan penjaga gol itu untuk terus kekal bersama kelab.

“Sejak beberapa tahun lalu David sudah membuktikan dia adalah yang terbaik di dunia dan menjadi sebahagian daripada perancangan kami untuk membawa Manchester United kembali ke kedudukan sepatutnya,” kata Solskjaer.

“David adalah insan yang hebat dan kualitinya menjadi asas yang sempurna untuk pertahanan kami.” – AFP

Berita Harian X