Khamis, 19 September 2019 | 8:48pm
AKSI perlawanan antara Negeri Sembilan dan Kedah pada aksi Piala Malaysia di Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Zaki serah pada PBNS

SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan Zaki Sheikh Ahmad menyerahkan kedudukannya dalam pasukan itu kepada pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas hasrat membawa pasukan berkenaan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia, tidak kesampaian.

Perjuangan NS berakhir selepas tewas kepada Kedah 2-4, di Alor Setar, Selasa lalu.

Dia yang mengambil alih tugasan itu sejak 20 Julai lalu daripada ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang direhatkan, membawa NS menamatkan saingan di tangga ketiga carta Kumpulan A dan gagal ke saingan suku akhir.

"Saya serahkan kepada pengurusan tertinggi PBNS untuk menentukan kedudukan sama ada kekal sebagai jurulatih pasukan atau sebaliknya,” kata Zaki.

"Mereka (kepemimpinan PBNS) mempunyai penilaian tersendiri dalam hal ini dan kita tunggu keputusan yang akan dibuat."

Zaki, 59, yang menandatangani kontrak setahun sehingga berakhirnya saingan musim ini, bagaimanapun mengakui masih berminat bersama skuad Hobin Jang Hobin.

Dia yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih, mengakui pengurusan pasukan itu perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Pengurusan perlu mengambil langkah awal untuk menghadapi musim depan terutama daripada segi pemilihan pemain tempatan dan import, untuk memastikan pemain yang dipilih benar-benar berwibawa serta mampu membantu menjulang kembali NS dalam liga tempatan," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan pencapaian NS musim ini, Zaki yang pernah membimbing Sarawak, mengakui terkilan kerana gagal membawa skuad Rusa melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia, namun tetap puas hati dengan pencapaian skuad bimbingannya.

"Apapun kemenangan yang dicipta ke atas Terengganu FC (TFC) dan PKNS FC pada pusingan kedua peringkat kumpulan menunjukkan kita boleh memberikan saingan, kesilapan yang berlaku apabila Negeri Sembilan lambat bangkit.

"Ini semua memberikan pengalaman berharga kepada kita semua (pasukan) untuk persiapan musim depan," katanya.

Berita Harian X