Jumaat, 20 September 2019 | 10:42pm
John Arne Riise (empat dari kiri) dan Ronny Johnsen (tiga dari kanan) di majlis pelancaran Battle of the Reds.

Legenda Liverpool, Man United ke Sabah

KOTA KINABALU: Penyokong Liverpool FC (LFC) dan Manchester United FC (MUFC) berpeluang menyaksikan perlawanan menarik yang membabitkan legenda bola sepak dua kelab itu di Stadium Likas pada 20 November ini.

Acara yang dikenali sebagai 'The Battle of the Reds' itu adalah hasil kerjasama syarikat Firm Horizon Sdn Bhd bersama Masters Football Asia.

Masters Football Asia akan membawa bekas pemain profesional dari pelbagai kelab untuk mendekatkan mereka dengan peminat dan menyaksikan perlawanan secara langsung.

Penganjur juga turut memilih Kota Kinabalu sebagai medan pertempuran bagi 32 bekas pemain LFC dan MUFC.

Kehangatan acara 'The Battle of the Reds' bakal dimulakan dengan festival bola sepak pada 16 November dengan pelbagai aktiviti menarik sudah dirancang.

Antara legenda yang bakal ditampilkan termasuk Jason McAteer iaitu pemain tengah yang bermain di Anfield dari tahun 1995 hingga 1999.

Menyertai McAteer adalah Steve McManaman, Peter Crouch, Emile Heskey, David James, Jari Litmanen, John Arne Riise, Dietmar Hamann dan Danny Murphy.

"Kami gembira dapat membawa gergasi bola sepak ini ke Kota Kinabalu. Bola sepak adalah sukan yang dinikmati oleh masyarakat, dan acara seperti menjadi peluang terbaik keluarga bersama meraikan dan menikmati permainan yang menarik.

"Saya harap semua peminat tanpa mengira peringkat umur terus memberikan sokongan mereka, " kata Pengarah Masters Football Asia,  Ian Holahan pada majlis pelancaran 'The Battle of the Reds' di sini.

Peminat yang mahu menyaksikan perlawanan itu boleh mendapatkan tiket di platform utama e-dagang di Asia Tenggara, Shopee.

Berita Harian X