Ahad, 22 September 2019 | 12:16pm

PBNS teliti laporan prestasi skuad NS

SEREMBAN: "Kemungkinan akan ada pemain sedia ada disingkirkan daripada pasukan terutama mereka yang tidak mencapai KPI (petunjuk prestasi utama)," kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Beliau berkata, perkara itu adalah proses biasa dalam sesebuah pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagaimanapun, katanya, ia akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi persatuan yang akan diadakan tidak lama lagi.

"PBNS akan menilai secara keseluruhan prestasi dan pencapaian pasukan sepanjang kempen Liga-M musim ini, selepas pasukan gagal dalam misi melangkah ke saingan Liga Super musim 2020, selain terkandas ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

"Pengurusan akan melihat laporan prestasi jurulatih dan pemain serta menelitinya sebaik mungkin sebelum membuat keputusan. Sudah tentu akan ada perubahan dari segi pemain kerana musim depan juga menjanjikan cabaran sengit.

"Apa yang jelas dari segi pencapaian musim ini tidak banyak bezanya dengan musim lalu, namun saya yakin dalam tempoh tiga atau empat tahun ini, prestasi pasukan kita mampu melonjak apabila lebih ramai pemain muda berbakat dilahirkan daripada Sekolah Sukan Negeri di Kuala Pilah," katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin yang dibimbing Mat Zan Mat Aris menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana musim ini.

Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, akui PBNS kurang puas hati dengan prestasi Mat Zan sepanjang beliau mengendalikan skuad berkenaan sehingga keputusan merehatkan pengendali itu dibuat, Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menentukan kedudukan ketua jurulatih terbabit bagi musim depan, sehingga kontrak jurulatih itu dan pemain tamat pada akhir November nanti.

"Memang kita tak berapa puas hati dengan prestasi Mat Zan hingga menyebabkan tugas itu diambil alih penolong jurulatih (Zaki Sheikh Ahmad).

"Apapun setakat ini kita (PBNS) belum buat apa-apa keputusan lagi (ketua jurulatih) dan kita tunggu sehingga kontrak tamat November nanti," katanya.

Berita Harian X