Isnin, 23 September 2019 | 7:22am
PEMAIN Liverpool, Trent Alexander-Arnold beraksi dalam perlawanan menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Klopp puji permulaan sempurna Liverpool

LONDON: Jurgen Klopp percaya bahawa keghairahan Liverpool untuk mencipta kejayaan menjadi pendorong utama di belakang kemenangan 2-1 dekat Chelsea yang melebarkan permulaan sempurna mereka dalam pemburuan Liga Perdana awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp menjadikan ia kemenangan keenam berturut-turut dalam liga musim ini ketika mereka terselamat daripada tekanan Chelsea pada babak kedua untuk mencipta jurang lima mata di depan Manchester City.

Sepakan percuma kencang Trent Alexander-Arnold dan tandukan Roberto Firmino meletakkan Liverpool dalam kawalan sebelum jaringan N’Golo Kante pada babak kedua mencetus penamat yang tegang.

Liverpool berjaya mengekang tekanan dengan matang dengan penampilan baik menunjukkan mereka adalah pasukan juara.


PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Dan bos Reds, Klopp menegaskan dia tidak pernah meragui pemainnya akan bergelut dalam keadaan itu kerana mereka adalah kumpulan yang amat komited.

“Saya sepatutnya tidak lagi terkejut dengan watak pasukan kami. Saya menjangkakan kami akan bertarung untuk apa saja,” katanya.

“Pemain melakukannya dengan sangat baik, mereka bertarung dengan hebat. Ia sebenarnya normal apabila anda diberi tekanan tetapi kami bertahan dengan baik.

“Itulah keadaannya dalam kelompok enam pasukan teratas Liga Perdana. Anda tidak akan menang di Chelsea tanpa melakukan perkara yang betul dan kami melakukannya hari ini.”

Selepas kemenangan besar City, 8-0 membelasah Watford semalam, ini ialah tindak balas sempurna dari Liverpool ketika mereka cuba mengatasi pasukan juara milik Pep Guardiola. - AFP


PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X