Isnin, 23 September 2019 | 8:39am
PEMAIN Paris Saint-Germain, Neymar (tengah) beraksi dalam perlawanan menentang Lyon pada aksi Ligue 1 di Stadium Groupama, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Neymar selamatkan PSG

PARIS: Neymar menjaringkan gol kemenangan lewat permainan ketika Paris Saint-Germain menewaskan Lyon 1-0 awal pagi tadi seterusnya mencipta jurang tiga mata di persada Ligue 1.

Pemain Brazil itu akhirnya menewaskan Anthony Lopes, yang berjaya menyelamatkan beberapa cubaan berbahya, berbaki tiga minit waktu permainan di Stadium Groupama.

Ia adalah gol kemenangan kedua Neymar dalam liga sejak kembali ke pasukan selepas kemelut perpindahan yang menyaksikan dia cuba meminta kembali ke Barcelona.

“Neymar boleh melakukan lebih baik,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel. “Ia adalah perlawanan kedua atau ketiga dalam empat bulan buatnya. Dia masih belum berada pada tahap 100 peratus.

“Dia bukan berada pada tahap terbaik. Dia boleh lebih baik, dia akan buat lebih baik. Dia akan sampai ke tahap terbaiknya, dengan perlawanan dan gol penting seperti itu, ia akan membantunya.”

PEMAIN Paris Saint-Germain, Neymar meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Lyon pada aksi Ligue 1 di Stadium Groupama, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Skuad dari Paris itu kini berkedudukan teratas dengan 15 mata selepas Angers dan Nice masing-masing menang hujung minggu lalu untuk sementara menyertai skuad kendalian Tuchel di kedudukan teratas.

PSG mengulangi pencapaian baik mereka dalam Liga Juara-Juara ketika mengatasi Real Madrid dengan mencipta kemenangan di Lyon.

Skuad kendalian Sylvinho, Lyon kekal di tangga kesembilan tanpa kemenangan sejak pertengahan Ogos.

PSG tampil tanpa trio serangan Kylian Mbappe, Edinson Cavani dan Mauro Icardi kerana kecederaan manakala pemain tengah Marco Verratti bermula di bangku simpanan. - AFP

Berita Harian X