Isnin, 23 September 2019 | 1:14pm
PEMAIN PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan (kanan) dan Muhamad Fadhil Idris (kiri) menghalang pemain PJ City FC, Bae Beomgeun dalam saingan Piala Malaysia menentang PJ City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Foto Muhaizan Yahya

PKNP FC terus buru kemenangan

SERI MANJUNG: Selepas aksi cemerlang menumbangkan PJ City 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B malam tadi, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menuntut pemainnya meneruskan momentum itu pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Rabu ini. 

Menurut Abu Bakar, mereka perlu mencari kemenangan dan pada masa sama memastikan gawang PKNP tidak bolos pada pertemuan melawan Kedah bagi membawa bekalan selesa ke Alor Setar pada aksi suku akhir kedua.

Jelasnya, biarpun Kedah pasukan yang hebat, namun dia percaya anak buahnya tidak gentar memberikan saingan. 

"Mesti berazam dan mempunyai cita-cita yang tinggi (untuk menang) dan paling penting (gawang) kami tak boleh bolos, bukan bermakna kita bertahan (semata-mata) tetapi kita akan mengekang dan jaringkan gol.

"Ia akan menjadi sukar kalau kita dibolosi atau tewas kerana permainan di Kedah bukan mudah, malah kita ada sejarah tewas dengan mereka dalam Piala Malaysia sebelum ini. 

"Jadi permainan pertama penting untuk merencanakan permainan yang kedua nanti," katanya pada sidang media di Stadium MPM, malam tadi. 

Mengulas perlawanan malam tadi, Abu Bakar berkata, dia berpuas hati dan bangga dengan persembahan anak buahnya biarpun perlawanan terpaksa ditunda dua kali sebelum ini. 

Katanya, bermain dengan jadual yang sudah dikeluarkan, mereka tiada banyak pilihan dan perlu pulih cepat serta meneruskan momentum. 

"Pemain memberikan komitmen tinggi yang tidak memberi ruang dan mengekang PJ City yang mempunyai kekuatan untuk menyerang. 

"Kita menggunakan peluang yang ada dan memberi tekanan jadi kemenangan malam ini adalah hasil berpasukan," katanya. 

Berita Harian X