Isnin, 23 September 2019 | 5:04pm
Neymar. - Foto AFP

Neymar harap terus meledak

PARIS: Neymar percaya kemenangan sukar ke atas Lyon, awal pagi tadi memberi petunjuk prestasi Paris Saint-Germain (PSG) terus meningkat.

Penyerang sensasi Brazil itu berterusan cuba memenangi kembali hati peminat PSG dengan menyumbat gol kemenangan 1-0 apabila dia menewaskan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes pada minit ke-87.

Ia adalah jaringan lewat buat kali kedua yang disumbangkan oleh Neymar selepas turut mencetak nama selaku penjaring ketika PSG menewaskan Strasbourg, minggu lalu.

Dua kemenangan dalam aksi Ligue 1 itu meningkatkan keyakinan buat juara Perancis itu selepas turut melakar kemenangan bergaya ke atas Real Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

“Ia perlawanan yang amat sukar,” kata Neymar. “Lyon pasukan yang amat kuat. Mereka bertahan dengan amat baik dan bermain dengan corak serangan balas yang amat merbahaya.

“Setiap perlawanan, kami meningkatkan tahap kami. Kami benar-benar bermain dengan baik pada malam ini. Menjaringkan gol sentiasa bagus untuk meningkatkan keyakinan. Saya berharap untuk meneruskannya.”

Neymar kini sudah menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan sejak kembali ke pangkuan skuad kendalian Thomas Tuchel selepas kuat dikaitkan dengan kontroversi perpindahan ke bekas kelabnya, Barcelona.

Kehadiran pemain termahal dunia itu dalam kesebelasan utama PSG jelas tepat pada masanya selepas kelab itu kehilangan dua tonggak, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe susulan kecederaan.

PSG kini memimpin carta Ligue 1 dengan kelebihan tiga mata selepas meraih lima kemenangan daripada enam perlawanan dan akan kembali beraksi pada awal pagi Khamis ini bertemu Reims. - Agensi

Berita Harian X