Rabu, 25 September 2019 | 11:31pm
Penjaga gol PKNP FC, Shafiq Afifi Suhaimi (kanan) berjaya menghalang percubaan pemain Kedah, Jonathan Bauman (dua dari kiri) pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Effendy Rashid
Pemain Kedah, Jonathan Bauman (tengah) cuba melepasi pemain PKNP FC pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - NSTP/Effendy Rashid

PKNP FC tumbang di gelanggang sendiri

MANJUNG: PKNP FC gagal meraih kemenangan di gelanggang sendiri apabila tewas 2-1 kepada Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.    

Di awal permainan, kedua-dua pasukan tampil garang mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing dengan beberapa percubaan.     

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi rembatan padu Yashir Pinto selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal yang menewaskan penjaga gol kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.     

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Aidil Sharin Sahak memperkemaskan permainan, namun beberapa cubaan pemainnya gagal menemui penyudah apabila berjaya dinafikan penjaga gol PKNP Shafiq Afifi Suhaimi.    

Bermula babak kedua, kegembiraan anak buah Abu Bakar Fadzim tidak bertahan lama apabila skuad Lang Merah menyamakan kedudukan menerusi sepakan Fernando Rodriguez hasil hantaran Jonatan Bauman pada minit ke-48.    

Pasukan pelawat terus menambah derita tuan rumah menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang ditanduk David Rowley berjaya menerjah gawang PKNP pada minit ke-73.     

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan. 

Berita Harian X