Jumaat, 27 September 2019 | 9:52pm
Gambar fail penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid ketika sesi latihan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Khairulazhan sertai latihan pusat ganti Ifwat

KUALA LUMPUR: Penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid dipanggil menyertai latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula, pada Isnin ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia bagi mengggantikan Ifwat Akmal Chek Kassim yang mengalami kecederaan.

Isnin lalu, FAM mengumumkan senarai nama 25 pemain yang dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 5 Oktober ini.

Ia sebagai aksi pemanas badan skuad Harimau Malaya menjelang aksi ketiga Kumpulan G bagi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober ini.

Daripada senarai itu, Cheng Hoe mengekalkan 23 pemain dari skuad 24 pemain ketika dua perlawanan awal Kumpulan G menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum ini.

Berita Harian X