Sabtu, 28 September 2019 | 10:16am
PENYERANG Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Mauro Icardi.

Mbappe, Icardi kembali perkuat PSG

PARIS: Penyerang Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Mauro Icardi kini cergas untuk kembali beraksi buat juara Ligue 1 itu selepas pulih daripada kecederaan dan akan bersama pasukan berkunjung ke Girondins de Bordeaux.

Perkara itu disahkan jurulatih PSG, Thomas Tuchel, pagi ini.

Mbappe, bintang Piala Dunia Perancis itu disisihkan sejak kemenangan mengatasi Toulouse pada 25 Ogos lalu gara-gara masalah otot manakala Icardi diketepikan selama seminggu kerana kecederaan pangkal paha, kini bersedia untuk aksi menentang Bordeaux, malam ini.

Bagaimanapun, penyerang Uruguay, Edinson Cavani terlepas perlawanan berkenaan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggul yang membuatkan dia dikeluarkan daripada sebarang aksi selama sebulan.

Penampilan semula Mbappe dan Icardi akan memberikan PSG tonik tambahan selepas mereka dikejutkan 0-2 di laman sendiri di tangan Stade de Reims Khamis lalu, selain gagal menjaringkan gol di Parc des Princes buat pertama kali dalam 45 perlawanan.

PSG berada di tangga teratas liga dengan 15 mata daripada tujuh perlawanan dan mendahului Angers menerusi perbezaan gol. - Reuters

Berita Harian X