Ahad, 29 September 2019 | 11:19pm
Pemain Kedah, Muhammad Farhan Ahmad (kanan) mengawal bola daripada dirampas pemain PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan pada saingan Suku Akhir ke-2 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Lang Merah tepati ramalan

 

ALOR SETAR: Kedah menepati ramalan apabila menewaskan PKNP FC 4-1 pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi seterusnya layak ke separuh akhir dengan agregat 6-2. 

Dalam pertemuan sengit di depan 12,641 penyokong setia, PKNP memulakan aksi serangan bahaya hasil larian solo Yashir Pinto namun tolakannya ditampan keluar pertahanan, Renan Alves. 

Kedah menceriakan Stadium Darul Aman apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi rembatan padu pemain sayap, Farhan Roslan yang menewaskan penjaga gol PKNP, Shafiq Afifi. 

Selang dua minit, Kedah menambah gol kedua menerusi pemain import kelahiran Argentina, Jonatan Bauman selepas menerima hantaran cantik Farhan dari sebelah kanan gawang PKNP. 


Pemain Kedah, Jonatan Jesus Bauman (kiri) berebut bola dengan pemain PKNP FC, Muhammad Aidil Azuan pada saingan Suku Akhir ke-2 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Pemain kacukan Malaysia-Australia, David Rowley menambah derita skuad kendalian Abu Bakar Fadzim dengan tandukan pada minit ke-71 bermula daripada sepakan sudut Baddrol Bakhtiar. 

Tidak berputus asa, PKNP bangkit mendapatkan gol pertama hasil sentuhan Mukhairi Ajmal pada minit ke-80 selepas membuat larian pantas ke sebelah kanan gawang Kedah. 

Pada hujung babak perlawanan, pemain muda dan licik Kedah, Fayadh Zulkifli melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan menyumbang gol keempat selepas mendapat lorongan Fernando Rodriguez.

 

 

Berita Harian X