Selasa, 1 Oktober 2019 | 10:40am
MENDIANG Emiliano Sala ketika mengumumkan sertai Cardiff City.
MENDIANG Emiliano Sala ketika mengumumkan sertai Cardiff City.

FIFA arah Cardiff bayar RM27.38 juta kepada Nantes

LAUSANNE: Cardiff City diarahkan membayar enam juta euro (RM27.38 juta) kepada Nantes berhubung pertikaian yuran perpindahan mendiang Emiliano Sala, menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Jumlah itu adalah ansuran pertama daripada yuran 17 juta euro (RM77.57 juta) yang dipersetujui Cardiff bersama Nantes sebelum Sala meninggal dunia berikutan nahas kapal terbang pada 21 Januari lalu dalam perjalanan untuk ke kelab barunya.

Cardiff sebelum ini masih belum membuat sebarang bayaran meski pun urusan perpindahan sudah diselesaikan sebelum kemalangan berlaku.

“Bagi menjaga kerahsiaan, buat masa ini kami tidak boleh mengulas tentang kemungkinan pembayaran ansuran pada masa akan datang atau syarat lain dalam perjanjian perpindahan itu,” kata FIFA kepada AFP.

Pengumuman yang dibuat badan induk bola sepak dunia itu dilakukan selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Status Pemain FIFA.

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata mereka “tidak pernah mengabaikan keadaan unik dan khusus tentang situasi tragik yang berlaku ketika berlakunya perbincangan.”

Kedua-dua kelab boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan, biarpun dalam satu kenyataan lain Nantes berkata mereka “berpuas hati dengan keputusan FIFA.”

“Cardiff perlu menghormati komitmen dan peraturan dalam undang-undang sukan,” kata peguam kelab itu. – AFP

 

 

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X