Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:26pm
Cheng Hoe pada sidang media di KLIA sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam pada 10 Oktober ini. - Foto BERNAMA

Waspada serangan pantas Vietnam

SEPANG: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya sentiasa berwaspada dengan serangan pantas pasukan Vietnam, apabila kedua-dua pasukan  itu bertemu pada aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Khamis ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan, sebarang kealpaan terutamanya di barisan pertahanan perlu dielakkan kerana pasukan lawan sentiasa mempamerkan aksi permainan pantas dalam mana-mana perlawanan.

Bagaimanapun beliau yakin, skuad 23 pemain yang dibawa pada kali ini, mampu menyerap tekanan daripada penyokong skuad 'The Red Stars' pada perlawanan berkenaan.

"Masalah penyokong yang ramai tidak menjadi masalah untuk kita, kerana pemain pernah beraksi di hadapan penyokong yang ramai, terutamanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, jadi tiada halangan besar di situ.

"Cuma kita perlu berhati-hati dengan corak permainan bertahan dan serangan balas pantas daripada pemain-pemain Vietnam," jelasnya ketika ditemui pemberita, sebelum skuad negara berlepas ke Hanoi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengesahkan kesemua 23 pemain yang dibawa ke Hanoi, termasuk pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh, bebas daripada sebarang kecederaan, sekali gus memberi tonik tambahan untuk menghadapi Vietnam.

"Bertandang ke Vietnam bukan satu tugas mudah, tetapi saya hendak pemain bermain sekali lagi dengan penuh keyakinan dan kena fokus untuk dapatkan satu keputusan positif, supaya cabaran kita lebih mudah selepas ini," jelas pengendali kelahiran Kedah itu, yang meminta barisan 23 pemain supaya melupakan rekod pertemuan terdahulu dengan pasukan Vietnam.

Untuk rekod, Malaysia kalah dengan agregat 2-3 pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pemain tengah Brendan Gan yakin rakan sepasukan mampu menghadapi Vietnam walaupun mengikut rekod Vietnam mempunyai kelebihan berdasarkan pertemuan sebelum ini antara kedua pasukan.

“Kami kini skuad yang berbeza sekarang ini dan kami bermain cara yang berbeza dan pemain lebih yakin ketika mengawal bola.

“Ia akan jadi satu permainan yang sukar, kerana Vietnam mempunyai rekod yang lebih baik berbanding kami, tetapi ini satu era baru, masa baru dan kami hanya perlu bermain permainan kami dan berharap ia akan membantu kami dalam perlawanan itu,” kata pemain tengah Perak itu.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas Vietnam pada perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium MyDinh di mana Harimau Malaya menang dengan jaringan 4-2 dan layak ke perlawanan akhir kejohanan itu dengan agregat 5-4. - BERNAMA

 

 

Berita Harian X