Selasa, 8 Oktober 2019 | 9:51pm

Mat Yo yakin gegar Hanoi

KUALA LUMPUR: Sekalipun Vietnam memiliki pertahanan berpangkalan di Eropah - Doan Van Hau, penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha optimis mampu merobek gawang lawan itu menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.

Menurut penggempur berpengalaman itu, paling penting barisan pemain Harimau Malaya dapat mengekalkan fokus beraksi sebagai satu pasukan daripada lebih memikirkan terhadap kemampuan dimiliki pihak lawan.

“Memang mereka memiliki pertahanan yang beraksi di Eropah dan situasi itu mungkin boleh menjadi satu kelebihan buat Vietnam.

“Namun, jika barisan pemain dapat bersatu hati dan memberikan lebih 100 peratus, mungkin kita boleh mendapatkan keputusan positif di sini,” katanya pada sesi latihan di Hanoi, hari ini.

Selain Van Hau yang beraksi di Eredivisie bersama Heerenveen SC, pengendali Vietnam, Park Hang Seo turut memanggil seorang lagi pemain yang berpangkalan di Eropah iaitu penyerang, Nguyen Cong Phuong yang beraksi bersama pasukan Liga Belgium, Sint-Truidense.

Dalam masa sama, penyerang yang lebih mesra disapa Mat Yo itu mengakui setiap pemain yang diturunkan khususnya di bahagian serangan memikul tanggungjawab sama dalam misi memburu gol.

“Saya sentiasa menyimpan hasrat untuk menjaringkan gol dalam setiap aksi dan jika saya diturunkan pada aksi Khamis ini, saya janji akan memberikan yang terbaik.

“Namun sesiapa pun boleh menjaringkan gol kerana yang penting, kita sentiasa bersatu hati. Saya percaya pada rezeki dan saya harapkan semoga rezeki kita akan sentiasa mudah ketika menentang Vietnam nanti,” katanya.

Sementara itu, media Vietnam, vnexpress.net melaporkan Vietnam ‘melarikan diri’ apabila menukar venue latihan kerana bimbang ‘diintai’ pasukan Malaysia yang turut berlatih di gelanggang sama.

Menurut laporan itu, Hang Seo mahukan sesi latihan secara tertutup sekali gus memohon Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) menukar lokasi latihan mereka ke tempat lain.

Hang Seo dipetik sebagai berkata, latihan itu sememangnya penting memandangkan dia mahu memuktamadkan perancangan strategik untuk berdepan Malaysia pada aksi di Stadium My Dinh.

Mat Yo optimis mampu merobek gawang lawan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X