Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:51pm
Pemain Wales, Gareth Bale (hadapan) bersama rakan sepasukan pada sesi latihan menjelang Kelayakan Euro 2020 di Britain. - Foto Reuters

Spekulasi tak ganggu saya - Bale

LONDON: Bintang Real Madrid, Gareth Bale menegaskan kemarahan berikutan layanan dan spekulasi media yang berterusan mempersoalkan masa depannya bersama gergasi Sepanyol itu tidak menghalangnya daripada memberikan yang terbaik di atas padang.

Hubungan pemain berusia 30 tahun itu dengan jurulatih Real, Zinedine Zidane tegang ketika pra-musim dengan legenda Perancis itu tanpa berselindung menyuarakan hasratnya untuk menjual Bale ke kelab China, Jiangsu Suning sebelum ia menemui kegagalan.

Bale selepas itu berusaha keras untuk memikat hati Zidane dan membantu Real mendaki ke tangga teratas La Liga dengan menjaringkan dua gol dan dua umpanan dalam enam perlawanan.

Begitupun, ia tidak menghentikan laporan media yang berterusan mengaitkannya dengan perpindahan keluar dari Santiago Bernabeu.

“Kamu bermain dengan penuh emosi dan juga kemarahan tetapi saya hanya cuba untuk bermain bola sepak, menikmatinya sebanyak yang mungkin dan memberikan yang terbaik,” kata Bale menjelang aksi kelayakan Euro 2020 yang menemukan Wales dan Slovakia, hari ini.

“Setiap kali saya berada di atas padang saya akan memberikan 100 peratus untuk membantu pasukan. Saya gembira untuk bermain bersama Wales. Tiada apa yang mengganggu minda saya.”

Pengurus Wales, Ryan Giggs juga mengakui situasi Bale bersama kelabnya sudah semakin pulih.

Wales ketika ini bergelut untuk layak ke pusingan akhir Euro 2020 apabila menghuni tangga keempat Kumpulan E selepas hanya mengutip enam mata dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Croatia tetapi memiliki kelebihan lebih satu permainan. - Reuters

 

 

Berita Harian X