Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:52pm
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan menjelang pelawanan Malaysia menentang Vietnam bagi kelayakan Piala Dunia peringkat Kumpulan G, pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Vietman . Kelihatan, Brendan Gan (dua dari kiri). - Foto Mohd Yusni Ariffin

Misi langsaikan 'hutang' di Vietnam

KOLUM BILA PENYOKONG BERSUARA

KUALA LUMPUR: Kekecewaan tewas di bumi Vietnam masih lagi segar di benak fikiran seluruh peminat bola sepak Malaysia, selepas kita tewas di perlawanan Akhir Piala AFF 2018.

Namun, malam ini kita bakal disajikan satu perlawanan menarik yang akan ditampilkan oleh dua pasukan terkuat di rantau Asia Tenggara di Stadium My Dinh, Vietnam.

Berbekalkan ranking ke-99 dunia, Vietnam sebenarnya masih takut dan bimbang dengan trio penyerang negara yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo), Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

Ini terbukti kehadiran skuad negara kali ini disambut puluhan wartawan tuan rumah yang ingin menemuramah Mat Yo. Situasi ini jarang dilihat sebenarnya untuk bola sepak di rantau ini.

Walaupun Vietnam dilihat sebagai pilihan selaku tuan rumah namun ‘Pahlawan Harimau Malaya’ masih mampu melakukan kejutan.

Hal ini kerana kredibiliti setiap pemain di atas padang amatlah dibimbangi oleh barisan pertahanan Vietnam.

Malaysia seharusnya mengamalkan permainan seperti biasa yang mana menekankan aspek penguasaan bola, namun perlu ditekankan dalam aspek teknikal di ‘attacking third’ pasukan lawan.

Pemain seperti Corbin Ong dan Mathew Davies seharusnya perlu melakukan banyak hantaran lintang kepada penyerang Malaysia kerana di situlah kelebihan yang ada pada Syafiq melalui tandukan.

Kita perlu sedar dengan rata-rata pemain Vietnam mempunyai ‘daya pecut’ yang hebat ketika bersama bola dan tanpa bola, pemain kita seharusnya fokus serta cepat untuk bertahan semula di bahagian tengah sekiranya kehilangan penguasaan bola.

Pasukan Vietnam menerima suntikan semangat apabila pemain bek kiri mereka, Doan Van Hau yang menyertai kelab Belanda, Heerenven secara pinjaman tempoh hari akan diturunkan untuk menghadapi perlawanan ini.

Pemain berusia 20 tahun itu menjadi nadi penting di bahagian pertahanan Vietnam yang mana cuma melepaskan satu gol sahaja dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Bagi kem Malaysia, dengan kehadiran bekas kapten, Aidil Zafuan Abd Radzak mampu menyuntik kembali semangat untuk mengemudi benteng pertahanan.

Dengan berbekalkan pengalaman serta kesungguhan yang ada, dia mampu memberi perangsang kepada ‘back 4’ pasukan negara yang sebelum ini dilihat sedikit bermasalah dengan gandingan Shahrul Saad-Adam Nor Azlin.

Diharap mereka mampu menyerap segala tekanan tanpa melakukan kesilapan mudah. Saya yakin mereka mampu melakukan yang terbaik.

Rata-rata pemain Vietnam mempunyai kepantasan serta kelajuan dalam memberi tekanan kepada pertahanan negara. Selain kepantasan, faktor yang boleh kita lihat dalam aksi tersebut pemain vietnam mampu bersaing dari segi fizikal.

Walaupun mereka tidak memiliki ketinggian, namun mereka mampu bermain secara fizikal apatah lagi pendekatan ‘grounder ball’ yang diterapkan pasukan negara.

Apa yang perlu pemain lakukan? Harimau Malaya harus menampilkan corak permainan seperti biasa iaitu permainan terbuka. Namun pemain haruslah siapsiaga dalam setiap situasi.

Selain itu pemain haruslah ‘cover’ di setiap posisi seperti melakukan lapisan selepas rakan ditewaskan oleh pihak lawan.

Cuba membayangi pemain lawan dalam jarak dan keadaan yang sesuai selain cepat menutup segala ruang. Ini kerana pemain Vietnam mampu melakukan lima hingga enam kali ‘hantaran maut’ dalam aksi terdahulu. Ayuh ‘Pahlawan Harimau Malaya’.

Kita mampu menggegarkan arena lawan sekali lagi selepas kali terakhir pada 2014. – Oleh Hamshahril Hamdan (penyokong Harimau Malaya)

Berita Harian X