Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:41pm
Penjaga gol Liverpool, Alisson. - Foto AFP

Alisson teruja nak 'bedil' United

LONDON: Penjaga gol Liverpool, Alisson menjalani latihan tambahan bagi memastikannya cergas dan berpeluang disenarai ketika Reds bertemu seteru utama Manchester United.

Bintang Brazil itu terpaksa diketepikan sejak hari pembukaan Liga Perdana selepas berdepan kecederaan betis yang serius ketika Liverpool menewaskan Norwich City 4-1.

Pemain berusia 27 tahun itu begitupun hampir kembali menyertai skuad utama dan sasarannya adalah untuk disenaraikan jurulatih, Jurgen Klopp ketika Liverpool mengunjungi Old Trafford pada 20 Oktober ini.

Klopp dikatakan memberi rehat selama seminggu kepada pemain-pemain Liverpool yang tidak terbabit dengan tugasan antarabangsa tetapi Alisson memilih untuk kekal di Melwood bagi menjalani latihan tambahan, mengikut laporan media Britain.

Gambar penjaga gol Brazil itu sedang menjalani latihan membabitkan larian dan reaksinya bersama jurulatih penjaga gol, John Achterberg dapat dilihat dalam usahanya untuk kembali beraksi selepas tiga bulan tersisih.

Tanpa kelibat Alisson, Liverpool begitupun mengharungi permulaan sensasi dalam saingan Liga Perdana musim ini apabila memenangi kelapan-lapan perlawanan awal dan memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga.

Selepas menewaskan Leicester City 2-1 minggu lalu, Klopp berkata: “Kami tahu yang kami perlu berjuang untuk mendapatkan kemenangan dan kami melakukannya.

“Tanpa tuah, kami tidak boleh memenangi perlawanan sebanyak ini tetapi sepanjang 90 minit, kami layak mendapatkannya. Kami layak mendapat tiga mata.” - Agensi

Berita Harian X