Selasa, 15 Oktober 2019 | 10:29pm
KETUA Pegawai Eksekutif Liverpool, Peter Moore.
KETUA Pegawai Eksekutif Liverpool, Peter Moore.

Trofi Liga Perdana 'kayu ukur' kejayaan Reds

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif Liverpool, Peter Moore berkata trofi Liga Perdana untuk digandingkan dengan kejayaan di pentas Liga Juara-Juara akan menjadi ‘kayu ukur kejayaan’ buat kelab berkenaan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp memenangi gelaran Eropah keenam pada Jun lalu, kurang sebulan selepas mereka dikecewakan oleh Manchester City bagi kejayaan Liga Perdana dengan satu mata.

Saingan liga kembali bersambung, Sabtu ini dengan Liverpool di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 30 tahun apabila memiliki kelebihan lapan mata di depan City.

“Saya fikir ini adalah apa yang peminat kami mahu,” kata Moore. “Kami amat hampir pada tahun lalu, 97 mata dan jika pada musim yang berbeza, kami mungkin akan memenanginya.

“Tetapi kelab terus berusaha dan saya fikir (gelaran liga), untuk kebanyakan peminat kami, bersama-sama dengan trofi Liga Juara-Juara akan menjadi kayu ukur kejayaan kami.”

City ketika ini menjadi penanda aras kejayaan di peringkat domestik apabila memenangi empat kejuaraan Liga Perdana dan Piala Liga serta dua trofi Piala FA sejak 2011 dan Moore berkata Liverpool sedang mengikuti jejak yang sama.

“Apa yang Liverpool perlu lakukan adalah membawa masuk pengurus berkelas dunia, dan kami memilikinya, mendapatkan skuad berkelas dunia, juga kami memilikinya dan memainkan permainan yang mengujakan.

“Kami juga membawa masuk pemain yang mampu mengikat peminat tidak kira di mana mereka pergi, dan kami juga berjaya melakukannya dan mengukuhkan kewangan kelab dan kami juga melakukannya.”

Moore berkata trofi Liga Juara-Juara memberi impak yang besar kepada Liverpool dan membawa mereka kembali digeruni dalam saingan Eropah. - AFP

Berita Harian X