Selasa, 15 Oktober 2019 | 10:45pm
Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee. - NSTP/Owee Ah Chun

Amaran Kim Swee

KUALA LUMPUR: “Jangan fikir soal pingat emas lagi!”

Itu peringatan daripada pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya berdepan laluan mudah bagi aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 2019 yang akan berlangsung di Filipina, bulan hadapan.

Berjaya mengelak ‘Kumpulan Maut’ apabila diundi bertemu Filipina, Myanmar, Kemboja dan juga Timor Leste, skuad negara tampak memiliki peluang cerah untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dengan hanya tuan rumah dijangka mampu menjadi pencabar terbesar dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, Kim Swee menegaskan mereka sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lain dan menyifatkan semua pasukan memiliki kekuatan yang seimbang selepas diperkuat dua pemain lebih usia apatah lagi sudah menjalani persiapan rapi menjelang temasya dwitahunan itu.

“Kita ingin layak lebih jauh tetapi saya selalu katakan bahawa kita harus memikirkan satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita tahu jadual ketat pada Sukan SEA jadi saya harus fikirkan strategi tertentu untuk bertemu setiap pasukan.

“Kalau dilihat memang ada kumpulan mudah namun saingan lebih sengit apabila memasuki separuh akhir nanti. Kita tidak boleh fikirkan pingat emas dahulu kerana kita harus tumpu untuk melepasi peringkat kumpulan sekali gus layak ke separuh akhir dan kemudiannya layak ke final,” katanya.

Sebagai rekod, Kumpulan B menampilkan juara bertahan, Thailand; Vietnam, Indonesia, Laos, Singapura dan juga Brunei dan edisi 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan Thailand menewaskan Malaysia 1-0 untuk merangkul kejuaraan ke-16.

Mengulas lanjut senarai pemain ke temasya terbabit, Kim Swee merancang untuk memanggil 25 pemain tidak termasuk mereka yang terbabit dengan tugasan pasukan senior dan latihan pertama dijadual bermula 4 November ini.

“Kita akan mengadakan satu aksi persahabatan dengan pasukan tempatan dan satu aksi persahabatan antarabangsa sebelum kita bertolak ke Manila nanti.

“Kita belum putuskan pasukan untuk aksi antarabangsa itu dan mungkin selepas undian ini, kita akan cari pasukan yang mahu beraksi menentang kita. Kita juga belum putuskan pemain lebih usia yang akan bersama kita nanti,” katanya.

Berita Harian X