Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:16am

Gelanggang Clasico mungkin tukar ke Santiago Bernabeu

MADRID: Pengelola La Liga mencadangkan supaya perlawanan Clasico membabitkan Real Madrid dan Barcelona pada 26 Oktober ini dipindahkan dari Camp Nou ke Santiago Bernabeu susulan kebimbangan dengan insiden kekacauan di jalan raya yang dicetuskan kumpulan pro kemerdeakaan Catalonia ketika ini.

Sembilan tokoh politik Catalan sudah dijatuhi hukuman penjara antara sembilan hingga 13 tahun kerana berperanan mengetuai kempen kemerdekaan wilayah dari Sepanyol sejak referendum diadakan pada 2017.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kebangkitan rakyat dan bertempur dengan polis sekali gus menyaksikan lapangan terbang Barcelona ditutup susulan tunjuk perasaan besar-besaran warga Catalonia.

Paling membimbangkan ialah wujud gesaan supaya bantahan diadakan besar-besaran sekali lagi pada 26 Oktober iaitu hari sama Barcelona dijadualkan menunggu kunjungan Real Madrid untuk aksi La Liga.

Difahamkan La Liga sudah meminta Jawatankuasa Pertandingan dan Persekutuan Bolasepak DiRaja Sepanyol (RFEF) memindahkan perlawanan Clasico itu ke gelanggang Madrid bagi mengelak sebarang risiko.

Jawatankuasa itu bersama RFEF akan mengumumkan keputusan mengenainya dalam tempoh terdekat. – Agensi

Berita Harian X