Khamis, 17 Oktober 2019 | 7:44pm

PBNS kekal 90 peratus pemain musim ini

SEREMBAN: Negeri Sembilan tidak akan membuat perubahan besar dalam barisan pemain apabila berhasrat mengekalkan 90 peratus pemain musim ini untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.

Malah empat pemain import skuad Hobin Jang Hobin iaitu tiga pemain dari Brazil - Almir Neto, Matheus Vila dan Igor Luiz selain Shunsuke Nakatake dari Jepun dijangka akan kekal.

Pengurus pasukan, Mohd Khairollah Abdul Latif, berkata pihaknya tidak mahu merombak keseluruhan pasukan bagi memastikan persefahaman pemain dapat terus kekal bagi mengharungi musim depan.

"Kita sudah ada gambaran barisan pemain dalam usaha membentuk pasukan terbaik bagi menghadapi musim depan.

"Namun, kita tidak bercadang untuk merombak secara besar-besaran, sebaliknya mengekalkan hampir 90 peratus pemain musim ini dan menyingkirkan hanya antara lima atau enam pemain sahaja.

"Keempat-empat pemain import juga dicadangkan untuk terus dikekalkan. Namun keputusan muktamad mengenai barisan pemain hanya akan ditentukan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dalam tempoh terdekat," katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairollah berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain dari pasukan Liga Perdana untuk mendapatkan khidmat mereka musim depan.

Mengenai kedudukan Zaki Sheikh Ahmad sama ada kekal selaku jurulatih atau dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih, Mohd Khairollah berkata, perkara itu juga belum diputuskan lagi.

Berita Harian X