Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:16am
Gambar fail, Lionel Messi bersama Neymar sewaktu mereka bergandingan dalam pasukan Barcelona.

Messi dedah Neymar sukar kembali ke Barcelona

BARCELONA: Lionel Messi mendedahkan terdapat beberapa individu di Barcelona yang menentang keputusan untuk membawa semula bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Penyerang Brazil itu meninggalkan Nou Camp secara kontroversi pada 2017 dan memilih ke Paris dengan perpindahan rekod dunia.

Namun, dia dikaitkan dengan perpindahan semula ke Sepanyol pada musim panas lalu, walaupun bekas rakan sepasukannya, Messi percaya sukar untuknya kembali di masa depan.

"Ia adalah sukar untuk membawanya kembali," kata bintang Argentina berusia 32 tahun itu.

"Yang pertama, kerana sukar untuk kami menerima kenyataan perpindahannya. Yang kedua kerana cara dia meninggalkan kami.

"Terdapat orang daripada kelab ini dan pemain yang tidak mahu melihat kepulangannya semula.

"Jika bercakap mengenai bola sepak, Neymar adalah antara yang terbaik di dunia, tetapi saya faham dengan faktor-faktor lain."

Sekalipun sudah mencetak 51 gol dalam 58 penampilan di ibu kota Paris, Neymar dilaporkan sedang mencari jalan untuk meninggalkan gergasi Perancis itu pada musim panas nanti.

PSG juga sedia menawarkan Neymar kepada gergasi Eropah lain secara pinjaman yang mana termasuk menetapkan klausa harga pembelian £200 juta untuk mendapatkannya selepas itu.

Kelantangannya untuk berhijrah menimbulkan kemarahan penyokong PSG, dan pemain berusia 27 tahun itu terus dikecam meskipun beberapa kali menampilkan sentuhan magis musim ini.

Menurut laporan The Athletic, Manchester United juga terpaksa melupakan niat untuk mendapatkan bintang sensasi itu selepas bimbang dengan gaya hidupnya yang suka berparti.

Dan Messi sebelum ini percaya Real Madrid akan menyambar Neymar selepas Barcelona menarik diri daripada perebutan untuk mendapatkan tandatangannya. - AGENSI

Berita Harian X