Sabtu, 19 Oktober 2019 | 1:47pm
Jurgen Klopp. - Foto AFP

Mereka nak lihat kami gagal - Klopp

LIVERPOOL: Jurgen Klopp percaya Liverpool turun berdepan Manchester United lewat malam esok waktu Malaysia, di celah-celah satu sarkas sambil berpesan kepada barisan pemainnya supaya mengabaikan cerita membabitkan perlawanan paling mencuri tumpuan itu.

Liverpool bertandang ke Old Trafford berbekalkan 17 kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut, termasuk lapan sepanjang musim ini untuk berada di puncak saingan. 

United pula dijarakkan 15 mata berbanding seteru ketat mereka itu untuk berada di kedudukan ke-12 selepas mengharungi prestasi buruk di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Malah, rata-ratanya penganalisis beranggapan tiada seorang pemain United pun yang layak untuk mengisi kesebelasan utama Liverpool setakat ini.

Tetapi sebaliknya bagi Klopp yang menuduh tindakan itu sebagai cubaan media untuk melihat pasukannya gagal.

"Abaikan! (Formula) perlawanan ini begitu mudah, sama seperti perlawanan yang lain. 

Media Sky membuat gabungan barisan utama perlawanan dengan meletakkan 11 pemain Liverpool.

"Dunia pada masa ini adalah sarkas dan kami pula berada di tengah-tengahnya - satu pihak mahu kami menang, satu pihak lagi mahu kami kalah."

Dia menambah: "Saya sukakan perlawanan ini tetapi perbincangan mengenainya terlalu diperbesarkan. Ia bahan menarik untuk media. Segala statistik dan perkara-perkara di sekelilingnya.

"Pada akhirnya, kami hanya perlu bermain bola sepak. Itu sahaja yang menjadi kebimbangan saya, ia hasil sikap yang luar biasa dan bola sepak yang benar-benar berani. 

Perlawanan itu juga menyaksikan buat julung kalinya sejak Oktober 1996, Liverpool berada di puncak untuk berhadapan dengan juara 20 kali itu. 

Tuan rumah kehilangan pemain utama seperti Paul Pogba sementara David de Gea dan Anthony Martial dalam keraguan, namun Klopp menganggap Solskjaer mungkin cuba mengaburkannya dengan alasan yang tidak menentu mengenai kecergasan trio berkenaan. 

"Empat hari lalu, saya rasa Ole ada mengatakan 'tiada peluang' buat De Gea dan Pogba. Hari ini dia berkata 'mungkin' pula, esok ia akan menjadi '100 peratus' selain Martial akan kembali," katanya. - AGENSI

Berita Harian X