Rabu, 6 November 2019 | 9:54pm

Rimau muda belasah Brunei 11-0 di Kemboja

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 18 (B-18) tahun negara kenduri gol di bumi Kemboja sebentar tadi selepas membelasah Brunei 11-0 dalam aksi kelayakan Kejuaraan B-19 AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2020 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh.

Ia adalah kemenangan kedua skuad kendalian Brad Maloney selepas menumpaskan tuan rumah 5-4 pada aksi pertama Kumpulan G, Sabtu lalu.

Bagi Brunei pula, keputusan itu menyaksikan kekalahan terbesar kedua yang mereka terima selepas dibelasah Thailand 9-0, Isnin lalu.

Pada aksi berkenaan, penyerang remaja sensasi, Luqman Hakim Shamsudin membuktikan ketajamannya apabila meledak empat gol iaitu masing-masing pada minit ke-21, 22, 24 dan 41.

Tujuh lagi gol disumbangkan Muhammad Azrin Afiq pada minit ke-17, Muhammad Azam Azmi (m-31 dan 60), Mohd Aiman Afif (m-39, 84 dan 90) dan Harith Haiqal Adam (m-58).

Kemenangan itu menyaksikan skuad muda negara menghuni tangga kedua kumpulan dan berkongsi enam mata bersama pendahulu, Thailand.

Anak buah Maloney akan mengharungi aksi ketiga berdepan Northern Mariana Islands di gelanggang sama, Jumaat ini.

Berita Harian X