Jumaat, 8 November 2019 | 10:42am
JURGEN Klopp dan Pep Guardiola.

Klopp tetap tabek Guardiola

LONDON: Jurgen Klopp mengakui dia harus kekal menunjukkan rasa hormat ke atas Pep Guardiola meskipun selepas pengurus City itu menuduh Sadio Mane ‘pandai berlakon’.

Mane menjaringkan gol kemenangan di minit akhir ketika Liverpool menang 2-1 ke atas Aston Villa di Villa Park minggu lalu dan dilayangkan kad kuning atas tindakan ‘merebahkan dirinya’ itu.

Komen Guardiola kepada BBC Sport yang menuduh Mane bijak berlakon mendapat reaksi daripada pemain Senegal itu dan Klopp turut mempertahankan anak buahnya dengan mendakwa City kerap juga melakukan ‘taktik kasar’ biarpun pengurus dari Catalan itu kerap menegaskan perbuatan sebegitu tidak digalakkan.

Perang mulut itu merebak menjelang pertemuan dua kelab itu di Anfield lewat Isnin ini tapi Klopp dilihat mengendurkan serangan ke atas City selepas Guardiola mengakui dakwaannya itu tidak berniat menuduh Mane sebagai penipu.

"Situasi saya sama dengan dia, kami kerap diasak pertanyaan mengenainya dan kadangkala apa yang dituturkan itu terlalu cepat tanpa sempat berfikir kesannya ke atas perkara lain,” kata Klopp kepada Sky Sports.

"Dia memberi penjelasan dengan baik, dia beritahu anak buahnya sama ada ia layak diberi penalti atau tidak, itulah yang menjadi topik perbincangan antara mereka.

"Saya tidak kisah sebenarnya. Saya tidak boleh mengurangkan rasa hormat ke atas Pep Guardiola, saya sudah lama kenal dia. Dia masih individu hebat.

“Pada saya, dia seorang pengurus terbaik dunia dan kami berpeluang mengatasi pasukannya biarpun susah tapi ia tidak mustahil.

“Kami ada beberapa kali mendapat keputusan positif menentang mereka, dari pihak saya tiada yang lain kecuali kekal menghormatinya.” – Agensi

Jadual Liga Perdana Inggeris

ESOK

Norwich City mln Watford, 4 pagi

Chelsea mln Crystal Palace, 8.30 mlm

Burnley mln West Ham United, 11 mlm

Newcastle United mln Bournemouth, 11 mlm

Southampton mln Everton, 11 mlm

Tottenham mln Sheffield United, 11 mlm

AHAD

Leicester City mln Arsenal, 1.30 pg

Man United mln Brighton, 10 mlm

Wolves mln Aston Villa, 10 mlm

ISNIN

Liverpool mln Man City, 12.30 tgh mlm

 

Berita Harian X