Sabtu, 9 November 2019 | 7:29am
PEMAIN Watford, Gerard Deulofeu mengasak pemain Norwich City, Jamal Lewis pada aksi Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Watford akhiri badi

LONDON: Watford mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menundukkan Norwich City 2-0 di Carrow Road, awal pagi tadi.

The Hornets yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain bermula garang apabila Gerard Deulofeu membuka tirai jaringan seawal minit kedua.

Andre Gray melengkapkan kemenangan pasukan itu apabila meledak gol kedua pada minit ke-52 hasil percubaan akrobatik yang dilakukannya.

“Kamu menjaringkan gol awal dan pasukan menjadi bertambah kuat dan bermain dengan lebih baik. Saya fikir ini adalah kemenangan yang istimewa buat penyokong kami.


PEMAIN Watford, Andre Grey mengasak pemain Norwich City, Max Aarons pada aksi Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, awal pagi tadi. - Foto Reuters

“Kami mahu dedikasikan kemenangan ini kepada penyokong yang sudah lama memberi sokongan kepada kami,” kata pengurus, Watford, Quique Sanchez Flores.

Bagaimanapun, malang buat Watford apabila pemainnya Christian Kabasele dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-65.

Kemenangan sulung itu menyaksikan Watford berjaya memintas Norwich di kedudukan liga dengan mereka ketika ini di tangga ke-18 apabila mengumpul 8 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.

Norwich pula di kedudukan tercorot selepas mengumpul tujuh mata. - AFP


PEMAIN Watford, Andre Gray meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Norwich City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Carrow Road, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X