Rabu, 13 November 2019 | 1:34pm
Kipre Tchetche (kiri) dan Kpah Sherman.

Kedah gempar Kipre, Kpah pindah lubuk

ALOR SETAR: Dua penyerang prolifik Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Kpah Sherman dan Kipre Tchetche kini semakin hangat diperkatakan bakal menyertai pasukan Kedah musim depan.

Walaupun belum ada pengumuman dan pengesahan daripada pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), namun desas desus perkara ini semakin panas dibincangkan.

Malah, melalui maklumat yang dikeluarkan KFA sebelum ini yang tidak menyambung khidmat dua penyerang iaitu Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman sekali gus menguatkan kahbar angin itu.

"Jika berita (Kipre dan Kpah) ini menjadi kenyataan, kami yakin skuad Lang Merah musim 2020 akan menjadi tumpuan dan mampu memberi saingan yang paling hebat."

"Kami juga mengikuti perkembangan kedua-dua pemain ini menerusi laman sosial dan mendapati pihak pasukan mereka iatu PKNS FC dan Terengganu FC juga belum menyatakan pengesahan berkaitan penyambungan kontrak mereka untuk musim 2020."

"Mulanya kami anggap biasa sahaja namun setiap hari makin ramai yang menyatakan kemungkinan ini sehingga menimbulkan sedikit keyakinan dikalangan penyokong bahawa kedua-dua penyerang ternama ini berkemungkinan akan menyertai Kedah untuk musim depan." kata Fazli Mansor dari kelab Peminat Bolasepak Kedah (PBK).

“Pada masa sama, kami yakin KFA memiliki perancangan terbaik untuk diumumkan kepada penyokong yang sentiasa mengikuti perkembangan serta persiapan pemain-pemain baharu yang akan bersama pasukan musim depan.

"Saingan yang lebih tinggi apabila Kedah bakal bersaing di peringkat kelayakan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) memerlukan pemain yang lebih berkeupayaan dengan persiapan yang lebih mantap."

Kpah Sherman yang menyertai MISC-MIFA pada 2017 dan kemudian bersama PKNS FC pada musim lalu mencatatkan rekod jaringan 38 gol bersama kedua-dua pasukan berkenaan, manakala Kipre Tchetche yang telah bersama Terengganu FC sejak 2017 juga telah meledak 38 gol sejak menyertai skuad Penyu dan dengan jumlah berkenaan menjadikan mereka antara penyerang berbisa dalam Liga M sehingga kini.

Berita Harian X