Rabu, 13 November 2019 | 5:09pm
AKIRA Nishino ketika sidang media perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Lupakan UAE, fokus tumbangkan Malaysia - Nishino

BUKIT JALIL: Pengendali Thailand, Akira Nishino tidak mahu anak buahnya terlalu diulit mimpi indah ketika menumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi ketiga Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, bulan lalu.

Walaupun Malaysia tewas kepada UAE, ia bukan jaminan atau ukuran tepat untuk mengambil mudah cabaran Harimau Malaya yang disifatkan mampu mencipta kejutan.

“Untuk layak kami perlu lakukan sehabis baik. Apa yang saya mahu tekankan adalah walaupun kami menang ke atas UAE dan Malaysia tewas, ia bukan ukuran sebenar.

“Saya hanya mahu tekankan kepada pemain yang kami perlu harungi satu demi satu perlawanan. Jadi untuk esok, saya harap kami mampu menghadirkan keputusan yang baik,” katanya ketika sidang media pra perlawanan hari ini.

Selepas menumbangkan UAE bulan lalu, Thailand kini gah mengungguli carta Kumpulan G, berkongsi tujuh mata bersama Vietnam.

Dalam masa sama, Nishino mengakui ada menerapkan cara Jepun dalam tugasannya namun bertegas beliau bukan ahli silap mata yang mampu merealisasikan falsafah itu dalam sekelip mata.

“Bukan semua (terapkan cara Jepun dalam pasukan Thailand). Untuk terapkan falsafah dalam pasukan, ia bukan senang dan memerlukan masa namun kami mahu terus tingkatkan kualiti hari demi hari,” katanya.

Sementara itu, kapten Thailand, Siwarak Tedsungnoen berkata seluruh pasukan mahu meneruskan rentak cemerlang dipamerkan sebelum ini.

“Gembira untuk bermain di stadium yang cantik seperti di Bukit Jalil. Ketika ini semua pemain berazam untuk menghadirkan kejayaan buat skuad kebangsaan kami,” katanya.

Berita Harian X