Rabu, 13 November 2019 | 10:54pm
Cristiano Ronaldo (tengah) bersama rakan sepasukan pada sesi latihan menjelang pertemuan menentang Lithuania dan Luxembourg. - Foto EPA

Ronaldo cergas, boleh bermain - Santos

LISBON: Penyerang Juventus dari Portugal, Cristiano Ronaldo sudah bersedia untuk beraksi pada kelayakan Euro 2020 berdepan Lithuania dan Luxembourg di sebalik kebimbangan mengenai tahap kecergasannya hujung minggu lalu, kata jurulatih Fernando Santos hari ini.

Ronaldo direhatkan pada minit ke-55 ketika Juventus menang mengatasi AC Milan pada saingan Serie A Ahad lalu, paling awal dia dikeluarkan oleh juara Itali itu dan dia tampak berang dengan jurulatih Maurizio Sarri ketika keluar menerusi terowong.

Sarri berkata selepas perlawanan bahawa Ronaldo sedang dalam proses pemulihan masalah lutut sejak sebulan lalu tanpa terlepas perlawanan selain turut berdepan masalah otot betis dan paha.

Bagaimanapun Santos berkata dia tiada masalah dengan pemain dengan rekod jaringan terbanyak negara itu yang sudah meledak 95 gol antarabangsa dan boleh mencapai 100 ketika berdepan lawan Portugal dalam Kumpulan B yang disertai Lithuania dan Luxemburg.

Portugal akan mengesahkan tempat ke Euro 2020 jika menewaskan Lithuania dan Serbia gagal menewaskan Luxembourg.

“Jika dia tidak cergas, kami tidak akan memanggilnya. Semua orang suka bercakap dan membuat spekulasi mengenai Cristiano Ronaldo kerana dia pemain terbaik dunia,” katanya dalam sidang akhbar menjelang pertemuan dengan Lithuania awal pagi Jumaat ini. - Reuters

Berita Harian X