Rabu, 20 November 2019 | 1:12pm
Aidil Sharin (kanan) berada di Jepun bersama seorang staf Kelab Sagan Tosu ketika mengadakan lawatan dan pemilihan pemain import Kedah untuk musim 2020. - Ihsan Aidil Sharin Ishak

Aidil Sharin ke Jepun cari pemain

ALOR SETAR: Pemain import kuota Asia untuk posisi tengah terus menjadi buruan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di Jepun apabila ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak mengesahkan beliau kini sedang berada di negara matahari terbit itu sejak tiga hari lalu bagi memilih calon pemain. 

Pemilihan pemain import baharu ini juga besar kemungkinan bagi menggantikan posisi tengah diisi pemain import berpengalaman Kyrgyzstan, Edgar Bernhadt musim ini. 

Menurut Aidil, beliau berkunjung ke Kelab Sagan Tosu yang beraksi di Liga Jepun  (J1 League) dan berkesempatan meninjau dan membuat pemilihan pemain bersesuaian dengan perancangan diatur Kedah. 

"Sepanjang lima hari di Jepun, saya akan mengadakan beberapa perbincangan dengan pemilik kelab dan melihat beberapa calon pemain sebagai persiapan pasukan Kedah musim depan.

"Saya berharap dengan persediaan dilakukan ini dapat memberi ruang mendapatkan pemain terbaik bagi menghadapi musim 2020," katanya.

Ditanya mengenai sebarang keputusan dicapai setakat ini, Aidil berkata beliau masih belum selesai melengkapkan tugas dilakukan. 

"Namun setakat ini belum ada pilihan muktamad dan proses pemilihan masih berjalan sepanjang tempoh saya di sini,” katanya.

Berita Harian X