Isnin, 25 November 2019 | 2:07pm
Zinedine Zidane. - Foto AFP
Zinedine Zidane. - Foto AFP

Zidane masih sayang Bale

MADRID: Apabila Zinedine Zidane menggugurkan Gareth Bale pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain tahun lalu, pemain sayap itu percaya ia adalah permulaan kepada pengakhiran dirinya di Real Madrid.

Dua musim berlalu namun dia masih kekal dengan Real, malah bakal bertemu PSG sekali lagi di Santiago Bernabeu awal pagi Rabu ini, dengan masa depan pemain Wales itu masih dalam persoalan serta kehadirannya dalam kalangan peminat tidak pernah pudar.

Dua perlawanan terakhir Real dalam saingan 16 terakhir menentang PSG pada Liga Juara-Juara 2018 adalah pada penghujung penggal pertama Zidane sebagai jurulatih dan menuju ke kejayaan ketiga berturut-turut gelaran di Eropah, menandakan titik perubahan hubungan Bale dan jurulatih itu.

Meninggalkan Bale ketika itu, Zidane menyampaikan mesej jelas: dia tidak mempercayai Bale dalam perlawanan besar. Kedua-duanya sukar dilihat bercakap sepanjang baki musim biarpun Bale menjaringkan dua gol apabila menjadi pemain gantian pada final menentang Liverpool.

Bale kelihatan mahu meninggalkan kelab itu pada musim panas namun Zidane pula yang pergi apabila meletak jawatan secara mengejut dan kini jurulatih itu kembali tetapi hubungan mereka masih dingin.

Tetapi beberapa minggu lalu, ketika sikap Bale menjadi tumpuan dan mengundang kritikan, Zidane pula dengan tegas mempertahankannya.

Apabila Bale kembali ke London untuk bertemu ejennya awal bulan ini, Zidane berkata dia memperoleh kebenaran untuk pergi. Apabila Bale menyertai Wales meskipun tidak menyertai enam perlawanan Real Madrid berikutan cedera, Zidane berkata ia adalah masa yang tidak tepat.

Dan apabila Bale mencetuskan kontroversi dengan mempamer bendera yang meletakkan kelab itu sebagai keutamaan paling rendah berbanding negara asalnya dan permainan golf, Zidane meminta peminat untuk mengingati pencapaiannya.

"Saya sudah katakan sebelum ini, kami perlukan peminat bersama kami," kata Zidane selepas Real menewaskan Real Sociedad 3-1 pada aksi La Liga, kelmarin.

"Terlalu banyak khabar angin dan ia agak keterlaluan. Dia mahu bersama kami dan melakukan dengan baik dan dia sudah lakukan itu. Cakap-cakap itu tidak perlu. Dia memainkan peranan besar dalam pasukan dan kami bersama-sama dengannya." - AFP

Berita Harian X