Ahad, 1 Disember 2019 | 4:55pm

Brendan sah sertai Selangor

KUALA LUMPUR: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor sah mendapat sentuhan daripada perancang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di media sosial rasmi kelab menerusi satu video Brendan yang dimuat naik, hari ini.

"Saya sentiasa bersedia dengan apa saja cabaran. Saya sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa saja yang saya lakukan.

"Ia tidak pernah mudah, sekarang adalah cabaran baharu. Saya dahagakan kejayaan dan saya mahu lakukannya bersama Selangor," kata Brendan dalam video berkenaan.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi hangat sebelum ini yang mengatakan Brendan akan meninggalkan Perak dan menyertai Selangor musim depan.

Kehadiran pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu sudah pasti bakal menambah kekuatan 'enjin' Red Giants di bahagian tengah.

Brendan juga berada pada prestasi terbaik ketika ini dengan aksi cemerlangnya bersama Harimau Malaya terutama ketika menentang Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan lalu yang masih menjadi sebutan dalam kalangan penyokong.

Berita Harian X