Sabtu, 7 Disember 2019 | 8:27am
Penyerang Lille, Victor Osimhen (tengah) mengawal cuba dihalang dua pemain Brest pada aksi perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. - Foto AFP

Lille ke kedudukan ketiga, Lyon belasah Nimes

PARIS: Jaringan pemain Nigeria, Victor Osimhen pada babak pertama memberikan Lille kemenangan 1-0 mengatasi Brest dan kedudukan ketiga Ligue 1 awal pagi tadi di belakang Marseille dan Paris Saint-Germain.

Penyerang berusia 20 tahun itu meledak pada minit ke-17 dengan penyudah baik hasil hantaran ke belakang Jonathan Ikone menyebabkan Gautier Larsonneur tidak berpeluang menyelamatkan gol kesembilan pemain itu musim ini.

Penjaga gol muda Brest itu bagaimanapun berjaya menyekat sepakan penalti Jonathan Bamba pada tambahan masa.

Lille mendominasi perlawanan itu dan mengatasi Bordeaux di tangga ketiga dengan 28 mata, tiga mata di belakang Marseille manakala PSG menguasai liga dengan 36 mata.

Kemudian Lyon meraih kemenangan 4-0 berdepan pasukan bawahan Nimes yang bermain sembilan orang apabila kad merah dilayangkan kepada Theo Valls pada minit kelima dan Gaetan Pacquiez sebelum rehat.

Penalti Memphis Depay pada minit ke-16 memulakan pesta jaringan dan bekas penyerang Manchester United itu menggandakan jaringan selepas sejam manakala Houssem Aouar dan Joachim Andersen melengkapkan malam sempurna buat bekas juara itu dan melonjak ke kedudukan kelima.

Kehadiran pengurus baharu, Rudi Garcia pada Oktober yang menggantikan Sylvinho, mencetus kebangkitan skuad berkenaan yang hanya satu mata di atas zon penyingkiran ketika dia tiba.

PSG akan menentang Montpellier di tempat lawan awal pagi esok dengan Neymar dan Kylian Mbappe kedua-duanya sudah cergas selepas kecederaan. - AFP

Berita Harian X