Ahad, 8 Disember 2019 | 10:33am
Klopp mengakui Liverpool melalui malam yang sempurna di Bournemouth selepas menang mudah 3-0. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Alex Oxlade-Chamberlain (kanan) jaringkan gol pertama pasukan. - Foto Reuters
Pemain Bournemouth, Lewis Cook (kiri) berentap dengan pemain Liverpool, Naby Keita dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, Bournemouth. - Foto Reuters
Pemain tengah Bournemouth, Ryan Fraser (kanan) mengasak Mohamed Salah dalam aksi di Stadium Vitality, Bournemouth. - Foto AFP

Persiapan sempurna Liverpool sebelum Liga Juara-Juara

BOURNEMOUTH, United Kingdom: Jurgen Klopp mengakui Liverpool melalui malam yang sempurna di Bournemouth selepas menang mudah 3-0 untuk melebarkan kelebihan di persada Liga Perdana kepada 11 mata.

Klopp berkata kemenangan itu bertepatan dengan persediaan mereka bagi saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan di Salzburg, dengan satu mata akan menjamin laluan juara Eropah itu ke kelompok 16 pasukan terakhir.

Pasukan itu mengawal permainan dan mendapat gol pada babak pertama menerusi Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita manakala Mohamed Salah memusnahkan terus harapan Bournemouth dengan gol ketiga pada babak kedua.

Dan pada ketika itu, tumpuan Klopp terarah kepada kunjungan ke Austria, walaupun pemainnya masih mahu menambah gol.

“Benar, ia sempurna, 100 peratus,” kata pengurus itu. “Kami menjaringkan gol yang hebat, kami ada lebih banyak peluang dan bermain sangat baik, dan kami memang sukar untuk mana-mana pasukan.

“Daripada 3-0 kami memang mengawal penuh permainan. Pemain tidak begitu sukakannya, mereka benar-benar mahu melakukannya tetapi saya tidak mahu sebarang risiko tidak diperlukan. Ia mungkin tidak menarik tetapi diperlukan.”

Ia adalah kemenangan ke-15 Liverpool daripada 16 saingan Liga Perdana dan membawa skuad Klopp 11 mata di depan, 24 jam sebelum Leicester City berdepan Aston Villa. - AFP

Berita Harian X